
Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim berkata dapatan kajian lapangan oleh pihaknya pada PRN Ogos 2023 menunjukkan kemenangan BN ketika itu banyak dibantu kesediaan pengundi teras PH memindahkan undi kepada calon BN.
Namun, katanya, pola sama tidak berlaku secara optimum dalam kalangan pengundi BN terhadap calon PH.
“Dengan kata lain, ‘vote transferability’ PH kepada BN berlaku dengan baik, namun sebaliknya untuk undi BN kepada PH,” katanya di Facebook.

Yusri berkata sokongan pengundi PH banyak membantu BN menang di beberapa kerusi seperti Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Juaseh, Seri Menanti, Senaling dan Kota.
Katanya, kerusi berkenaan dimenangi BN dengan majoriti kecil, sama ada beberapa puluh atau beberapa ratus undi.
“Berdasarkan simulasi dapatan pada masa itu, tanpa sokongan pengundi teras PH, agak sukar untuk Umno/BN memenangi kerusi-kerusi tersebut,” katanya.
Pada PRN 2023, gabungan PH-BN memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, dengan PH memperoleh 17 kerusi, BN 14 dan Perikatan Nasional lima.
Yusri berkata belum ada kajian lapangan terbaru untuk menentukan sama ada BN Negeri Sembilan kini lebih kuat berbanding Ogos 2023.
Bagaimanapun, katanya, analisis sentimen susulan krisis politik terbaru menunjukkan persepsi awam ‘agak kurang memihak’ kepada BN Negeri Sembilan.
“Tidak mudah juga untuk Umno/BN jika berlaku PRN dalam masa terdekat,” katanya.
Negeri Sembilan dilanda krisis politik selepas 14 Adun BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun, mencetuskan persoalan berhubung kedudukan majoriti kerajaan negeri.
Awal hari ini, DAP mengarahkan seluruh jentera parti bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya DUN masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat.