Najib tarik pengundi Cina dengan janji iktiraf UEC

Perdana menteri diapit bekas ketua menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat (kiri) dan Ketua Menteri sekarang, Tan Sri Musa Aman (right) dengan penyokong BN di Sandakan.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), jika Barisan Nasional (BN) diberikan mandat kukuh.

UEC diiktiraf pelbagai universiti di terkemuka di seluruh dunia, termasuk Institut Teknologi California, Universiti Harvard, Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Toronto dan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).

Tetapi di Malaysia, UEC tidak diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi untuk kemasukan ke universiti awam tempatan, namun ia diterima universiti swasta.

Pada Mac 2016, Sarawak mula mengiktiraf UEC dalam pengambilan penjawat awam negeri itu dan kemasukan ke kolej dan universiti milik negeri, juga untuk permohonan pinjaman pendidikan Yayasan Sarawak di bawah pentadbiran ketua menteri ketika itu, Tan Sri Adenan Satem.

Najib berkata, ia penting untuk pengundi menyokong calon Cina BN bagi memastikan lebih ramai wakil kaum itu dalam kerajaan.

Bercakap dalam majlis makan tengah hari dengan masyarakat Cina di Sandakan, hari ini, Najib berkata, orang Cina perlu menolak propaganda DAP yang sering menghasut rakyat untuk menghina pemimpin BN berketurunan Cina.

“Tetapi, adakah ini baik untuk masyarakat Cina?

“Kami nampak sejak 5 tahun lalu, kaum Cina tiada perwakilan mantap dalam kerajaan BN kerana kekurangan pemimpin kaum itu dalam kerajaan.

“Masyarakat Cina perlu sedar ia tidak boleh membentuk sebuah kerajaan kuat sendiri. Tetapi, jika kita bersatu, kita boleh. Sebagai perdana menteri, saya merayu anda bersatu dengan BN supaya kita boleh bertambah kuat.”

Najib turut menafikan ekonomi negara sedang merosot, seperti didakwa pembangkang.

Sebaliknya, beliau berkata, ekonomi negara sudah berkembang dan kini di belakang Singapura dari segi keluaran dalam negara kasar (KDNK) di rantau ini.

Pasaran global, katanya, sedang memerhatikan Malaysia untuk melihat jika kerajaan akan mendapat mandat kukuh daripada rakyat.

Jika BN mendapat mandat kukuh, Najib percaya mata wang negara akan mengukuh dan ringgit akan stabil pada tahap RM3.80 berbanding AS$1 menjelang akhir tahun ini.

“Jika ini betul, kita semua akan mendapat manfaat daripadanya. Ingatlah, kejayaan ekonomi bergantung kepada kestabilan politik.”

Najib ucap terima kasih atas sokongan bekas ketua menteri

Najib turut menyuarakan penghargaan kepada bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat, seorang pemimpin Cina terkemuka di negeri itu yang berikrar untuk kekal setia kepada BN.

“Kita tidak boleh menerima mereka yang tiada prinsip, melompat ke parti lain dan kemudian menentang orang yang pernah menjadi rakan mereka dalam BN sebelum ini.”

Mengenai isu keselamatan, Najib berkata, BN memandang serius tahap keselamatan di Sabah kerana ia akan memastikan persekitaran perniagaan yang baik.

Katanya, rakyat perlu mengiktiraf apa yang kerajaan lakukan untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian dan pada masa sama, memberi kebebasan kepada mereka berniaga dan menjalani kehidupan mereka.

“Sesetengah negara mempunyai kemakmuran, tetapi tiada kebebasan. Ada yang mempunyai kebebasan tetapi mereka tiada kemakmuran.

“Tetapi kita di Malaysia mempunyai kedua-duanya, kemakmuran dan kebebasan, tambahan rakyat kita bersatu padu.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14