Jangan politikkan nama ‘Bangsar South’, kata pemaju

Jangan politikkan nama ‘Bangsar South’, kata pemaju

Walaupun ada gesaan untuk memulihkan nama Kampung Kerinchi, pemaju berkata, nama Bangsar South mewakili kemakmuran.

Free Malaysia Today
Fahmi Fadzil berjanji akan memulihkan nama Kampung Kerinchi. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Seorang pemaju hartanah berkata, nama kawasan perumahan Bangsar South tidak harus dipolitikkan, selepas calon PKR Lembah Pantai berjanji akan mengekalkan nama asal kawasan itu, kampung Kerinchi.

Pemaju yang enggan dikenali itu berkata, nama Bangsar South masih relevan kerana ia terletak di dalam kawasan Bangsar.

“Sebab itu perubahan nama diluluskan. Rasional mempunyai nama baru kerana kawasan tersebut sudah dibangunkan semula.

“Jika anda memilih nama untuk anak, anda mahu nama tersebut mewakili sesuatu yang bermakna. Bagi pemaju hartanah, kami mahu nama yang mewakili kemakmuran dan memberi keyakinan pasaran.”

Beliau berkata, perubahan nama itu tidak ada kaitan dengan kampung Kerinchi merupakan nama Melayu, sebaliknya kerana ia tidak menggambarkan kemakmuran.

“Jika anda lihat Taman Tun Dr Ismail (TTDI), ia adalah nama Melayu tetapi ia mencerminkan kemakmuran dan kekuatan. Sebab itu ia kekal tidak berubah dan pemaju bukan sahaja mahu membina di situ, tetapi mahu nama TTDI menjadi sebahagian daripada pembangunan mereka.”

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, perubahan nama itu diluluskan pada 2008.

“Saya tidak pasti alasan sebenar ketika itu, ia berlaku sebelum masa saya.”

Beliau memberitahu FMT, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak melihat nama Bangsar South sebagai isu besar, dan menganggap nama tersebut diterima umum.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang juga calon di kerusi Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau mahu mendesak nama kawasan itu dikembalikan kepada Kampung Kerinchi kerana ia adalah warisan kawasan berkenaan.

Penduduk memberitahu FMT, mereka akan menyokong usaha itu kerana nama “Bangsar South” tidak memberi apa-apa makna kepada mereka.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mengkritik perubahan nama itu yang disifatkannya tidak memberi kesan ke atas nilainya, asalkan lokasinya strategik.

Pembangunan semula kawasan itu bermula 2007.

Sejarah Kampung Kerinchi bermula pada abad ke-18 apabila satu komuniti Kerinci dari Indonesia menetap di kawasan tersebut kerana melarikan diri daripada penjajahan Belanda.

Masa berlalu dan kawasan itu berkembang menjadi penempatan utama orang Melayu serta merupakan tapak kepada pangsapuri Kerinchi yang dikenali umum.

Bangsar South adalah projek pembangunan bercampur yang popular. Ia menempatkan kawasan perumahan, hartanah komersial dan gaya hidup.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.