MB, exco Terengganu angkat sumpah malam ini, kata PAS

Hussien Awang (tengah) berkata, menteri besar dan barisan exco PAS akan mula bertugas di Wisma Darul Iman Isnin depan kerana Ahad diisytiharkan sebagai hari kelepasan tambahan.

KUALA TERENGGANU: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Hussien Awang berkata istiadat pelantikan dan angkat sumpah menteri besar serta barisan exco negeri akan diadakan di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, di sini, 9 malam ini.

Bagaimanapun, PAS Terengganu masih berteka-teki siapa yang akan dilantik sebagai menteri besar.

“Kita telah menghadap sultan untuk mendapatkan tarikh bagi angkat sumpah menteri besar dan exco di istana 9 malam ini.

“Kita akan putuskan (siapa menteri besar dan exco), tapi tak akan umum sebelum mendapat perkenan sultan,” katanya pada sidang media hari ini.

PAS berjaya merampas Terengganu daripada Barisan Nasional (BN), selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi negeri, semalam.

Kali terakhir PAS memerintah Terengganu ialah dari 1999 hingga 2004.

Hussien berkata, menteri besar dan barisan exco PAS akan mula bertugas di Wisma Darul Iman Isnin depan kerana Ahad diisytiharkan sebagai hari kelepasan tambahan.

“Menteri besar dan barisan exco akan mula memasuki Wisma Darul Iman 14 Mei ini dan ketika kami memasuki Wisma Darul Iman, kita akan adakan solat hajat dan pengalihan tugas daripada bekas menteri besar kepada menteri besar baru.

“Kita mahu mengambil alih tugas dengan suasana tertib dan berakhlak.”

Katanya, segala urusan kerajaan tempatan mahupun agensi kerajaan akan berjalan seperti biasa.

“Seluruh kerajaan tempatan dan agensi kerajaan harus berjalan seperti biasa dan tidak akan ada mana-mana balai raya ditutup, jika ada sekalipun ia adalah tindakan sabotaj dan PAS tidak bertanggungjawab.”