
Maklumat mengelirukan tersebar melalui spekulasi dan khabar angin atas penangguhan upacara angkat sumpah dalam mesej WhatsApp.
“Tidak ada upacara hari ini,” kata sumber rapat pengerusi PH ketika dihubungi FMT di luar kompleks Istana Negara di Jalan Duta, di mana ramai wartawan menunggu sejak tengah hari tadi.
FMT difahamkan upacara angkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, akan diadakan pada 9.30 malam ini.
Dr Mahathir, 93, yang berbaju Melayu hitam, tiba di Istana Negara pada 4.40 petang tadi menaiki Proton Perdana hitam bernombor plat “Proton 2020”, simbolik kepada 2 legasi terkenalnya: kereta nasional Proton dan Wawasan 2020, pelan tindakan untuk status negara maju pada 2020.
Pagi tadi, Datuk Seri Najib Razak yang mengetuai Barisan Nasional melalui kekalahan paling teruk dalam sejarah negara, berkata beliau menerima keputusan rakyat dan menggesa semua pihak bertenang untuk membolehkan Agong menentukan perdana menteri ke-7.
“Ia akan dibuat berdasarkan prinsip siapa yang mendapat kepercayaan dalam kalangan ahli Dewan Rakyat,” kata Najib.
Awal pagi tadi, PH yang dianggotai 4 parti diketuai Dr Mahathir memenangi 113 kerusi Parlimen, menewaskan BN dengan 79 kerusi. Parti politik yang mendapat majoriti mudah, iaitu 112 kerusi boleh membentuk kerajaan persekutuan.
Upacara angkat sumpah Dr Mahathir sebagai perdana menteri ke-7 di Istana Negara pagi tadi dibatalkan tanpa sebarang alasan kukuh.