
“Kita percaya kita boleh mendapat balik kebanyakan wang 1MDB, kita ada ramai pakar yang akan menangani isu ini.
“Kita percaya wang itu disembunyikan di Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland, juga ‘dengan Jho Low dan Rosmah’,” katanya merujuk ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho dan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada masa sama, ahli Parlimen Langkawi itu juga berjanji akan memfokuskan pengurusan kewangan dan pengukuhan ekonomi negara, termasuk menstabilkan nilai ringgit.
“Kami akan hapuskan istilah ‘cash is king’. Kita perlukan duit, tetapi ia bukanlah raja. Kita ingin beritahu pelabur-pelabur bahawa mereka boleh naikkan saham di ‘stock market’.
“Kita juga di peringkat kerajaan akan menjaga nilai ringgit. Kita akan pastikan nilai ringgit tidak terlalu rendah,” katanya dalam sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-7, malam tadi.
Beliau juga berjanji kerajaan pimpinannya akan menstabilkan harga minyak bagi mengelakkan ia turun naik setiap minggu.
“Kita harap rakyat akan menghargainya kerana kita sama-sama sayangkan negara ini dan kita bukan berjuang untuk wang.
“Selain itu, dari segi dasar, saya sudah memperkenalkan idea kerajaan yang mesra perniagaan dahulu dan konsep Malaysia Inc. Jadi kita akan meneruskannya.”
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga sedia bekerjasama dengan negara lain untuk memastikan perdagangan asing di negara ini terus berkembang.
“Saya boleh cuba sebab saya ada pengalaman selama 22 tahun sebagai perdana menteri sejak 1981, ketika kita alami krisis.
“Kita ada pemikiran dalam kerajaan ini, yang mana kita yakin mampu selesaikan masalah ekonomi yang dilakukan perdana menteri sebelum ini.”
Beliau juga akan menyemak semula jumlah hutang ditanggung negara yang menurut Barisan Nasional mencecah RM800 bilion.
“Ini tidak termasuk jumlah tersembunyi. Tidak mustahil jika hutang yang kita ada mencecah RM1 trilion,” katanya.
Dr Mahathir berkata, kerajaan pimpinannya akan mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.