Dr M umum 10 kementerian penting, menteri menyusul esok

Dr M umum 10 kementerian penting, menteri menyusul esok

Perdana menteri berkata, PH mahu Kabinet kecil, tetapi penting dan sesuai dengan keadaan semasa.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir bersama pemimpin PH lain mengadakan sidang media di Yayasan Al Bukhary, Putrajaya, selepas mesyuarat Majlis Presiden gabungan 4 parti itu.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan 10 kementerian penting untuk Kabinetnya dan menterinya dijangka didedahkan esok.

Ia adalah Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Multimedia, Sains dan teknologi serta Kementerian Luar.

Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan (PH) mahu membentuk Kabinet kecil, tetapi penting dan sesuai dengan keadaan semasa.

“Kami tidak mahu Kabinet yang besar, tetapi ada kementerian yang seharusnya segera diisi,” katanya pada sidang media hari ini.

Pengerusi PH itu berkata, beliau akan mengambil pendirian neutral dan pendekatan mesra dengan semua negara tanpa mengira pendirian serta prinsip mereka.

“Kami mahukan hubungan yang baik dengan semua negara dan tidak memihak kepada mana-mana negara. Sudah tentu kami mahu memastikan produk Malaysia didagangkan.

“Malaysia merupakan negara yang melakukan perdagangan, kami mahu ia dipasarkan tidak kira ia negara komunis atau tidak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.