
Katanya, PAS sudah menempuh pelbagai cabaran dan keadaan yang membolehkan ia berjuang dengan prinsip dan matlamat sendiri.
“Kita tidak pernah menyesal (kerana sebelum ini) kita pernah berada dalam kerajaan, pernah juga dipecat oleh kerajaan.
“Kita pernah laluinya semua, kita juga pernah kalah dan kita juga pernah menang,” katanya selepas menyaksikan upacara mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan menteri besar dan exco Terengganu di Istana Syarqiyyah, di sini, malam tadi.
“Jatuh bangun dalam politik ini biasa dan sentiasa berubah, kawan jadi musuh, musuh jadi kawan dan sebab itu kita tidak boleh berkawan hingga melebihi batas dan tak boleh bermusuh hingga melampaui batas.”
Pada Mac 2017, Hadi dilaporkan berkata, PAS akan menghadapi PRU14 bersendirian kerana “menyertai Barisan Nasional (BN) laksana memikul biawak hidup”, manakala “menyertai PH biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah.”
Katanya, PAS tidak bersama PH kerana ada parti dan pemimpinnya yang menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi, manakala BN pula memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakitnya, serta masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat parti Islam itu.
PAS bersama PKR dan DAP menubuhkan Pakatan Rakyat pada 2008 dan gabungan pembangkang itu dibubarkan pada 2015 berikutan pertikaian mengenai isu hudud antara parti Islam itu dengan DAP.
Pada Mei 2017, PAS memutuskan kerjasama politik hampir 2 dekad dengan PKR kerana mendakwa parti itu melanggar syarat “tahaluf siyasi”.
Semalam, PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi negeri di Terengganu yang membolehkannya membentuk kerajaan negeri. Kali terakhir PAS mentadbir Terengganu ialah dari 1999 hingga 2004.
Hadi: Sertai BN pikul biawak hidup, Pakatan biawaknya lebih besar