Hamzah belum mohon sertai parti dalam PN, kata Takiyuddin

Hamzah belum mohon sertai parti dalam PN, kata Takiyuddin

Setiausaha agung PN itu berkata bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin juga tidak mohon sertai PAS.

Takiyuddin Hassan Hamzah Zainudin
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata tiada petunjuk Hamzah Zainudin menyertai mana-mana parti dalam gabungan pembangkang itu.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) masih belum menerima sebarang permohonan daripada Hamzah Zainudin, yang dipecat daripada Bersatu pada Februari, untuk menyertai gabungan pembangkang itu, kata Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan.

“Sehingga hari ini, tiada petunjuk bahawa beliau telah menyertai mana-mana parti dalam PN.

“Sesiapa yang mahu berada dalam PN mestilah berada dalam salah satu daripada empat parti,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.

PN merupakan gabungan yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Takiyuddin, yang juga setiausaha agung PAS, berkata Hamzah juga tidak memohon untuk menyertai PAS.

Terdahulu hari ini, Hamzah menegaskan beliau tidak akan meninggalkan PN dalam perjuangan politiknya pada masa ini, walaupun telah dipecat Bersatu.

Hamzah yang membayangkan penyertaan ke ‘rumah baharu’ dalam masa terdekat berkata ia tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu sebaliknya boleh membabitkan penyertaan dalam parti sedia ada.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan PAS mungkin menjadi ‘rumah baharunya’.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu dalam krisis kepimpinan parti itu terutama membabitkan desakan supaya Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata beliau akan menolak sekiranya Hamzah bersama parti baharunya ingin bekerjasama dengan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.