
Saifuddin berkata semua pihak harus menghormati Dr Mahathir yang baru sahaja mendapat persetujuan Agong dan selesai mengangkat sumpah.
“Kami tidak bercakap tentang jangka masa, kita harus hormat kepada Dr Mahathir yang baru sahaja ambil sumpah semalam,” katanya sewaktu ditemui di Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini.
Sebelum ini PH bersetuju jawatan perdana menteri, menteri besar, dan ketua menteri akan dihadkan kepada 2 penggal jika PH mentadbir negara.
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin berkata langkah itu cara terbaik untuk memastikan ketelusan pentadbiran.
Saifuddin berkata pihaknya berusaha untuk mengangkat kedudukan Anwar di tempat selayaknya namun enggan menyatakan apakah kedudukan berkenaan.
Beliau menafikan usaha itu melibatkan pelantikan Anwar sebagai senator. “Sudah tentu akan diusahakan untuk satu proses pilihan raya. Tetapi kami belum bincang ke arah itu.”
“Hasrat kami meletakkan semula posisi beliau pada kedudukan selayaknya. Saya tidak mahu nyatakan dia akan menjadi penasihat,” katanya.
Anwar merupakan pilihan pertama PH sebagai calon perdana menteri. Mengikut rancangan asal PH bagi pilihan raya umum ke-14, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas ketua umum PKR itu layak untuk memegang jawatan itu.