Salahuddin, Aminolhuda dan Osman antara calon MB Johor

Muhyiddin menghadap Sultan Ibrahim bagi menyerahkan senarai 3 calon MB Johor, hari ini. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Sumber dalam PPBM berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Sultan Johor hari ini untuk menyerahkan 3 nama calon menteri besar dan pembentukan kerajaan negeri.

Sumber itu berkata, 3 calon itu adalah Naib Pengerusi PH Johor, Salahuddin Ayub, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Setiausaha PH serta PPBM Johor, Datuk Osman Sapian.

“Tan Sri Muhyiddin telah masuk ke Istana Johor jam 11.45 pagi tadi bagi memberi 3 nama ini.

“Muhyiddin akan membuat satu sidang media PH Johor di Hotel Le Grandeur Senai jam 3 petang ini,” katanya kepada FMT.

Sumber itu berkata, Muhyiddin sudah menyuarakan hasratnya tidak mahu menjadi menteri besar Johor.

Muhyiddin menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangir bagi membincangkan pelantikan menteri besar dan penubuhan kerajaan negeri yang baharu.

Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung awal minggu depan.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 daripada 5 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 19 kerusi dan PAS (1).

PH juga memenangi 18 kerusi Parlimen di Johor, baki 8 lagi kerusi dimenangi BN.

Bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kalah kepada wakil PPBM, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh di DUN Permas dan Ketua PKR Johor, Hassan Abdul Karim, di Parlimen Pasir Gudang yang disandangnya selama 2 penggal.

BN turut kehilangan beberapa kubu kuatnya, termasuk Johor Bahru yang disandang Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Segamat yang disandang Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam kepada calon PH.