
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu lebih harmoni dan tertib berbanding menyuarakannya secara terbuka melalui media.
“Dalam PH, kalau (rakan komponen) berhajat satu-satu kerusi Parlimen, kita tak sebut dalam surat khabar … kita bawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, kita akan bawa pada peringkat sekretariat, malah kita ada Jawatankuasa Perundingan Kerusi. Itu tertib dia,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih.
Terdahulu dilaporkan Amanah Wilayah Persekutuan berhasrat memperluas penguasaan kerusi Parlimen pada PRU16 akan datang, termasuk menyasarkan Putrajaya.
Ketuanya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya turut ‘mengintai’ dua lagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, iaitu Labuan dan Titiwangsa.
Dalam pada itu, mengulas penahanan 34 pelajar dan murid yang merentas sempadan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah di Rantau Panjang, Saifuddin berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Imigresen dan pihak polis Kelantan agar mempermudah perolehan dokumen perjalanan mereka.
Saifuddin bagaimanapun menegaskan, mana-mana individu yang merentas sempadan perlu mempunyai dokumen perjalanan yang sah bagi mengelak risiko berlakunya jenayah.
“Kawasan sempadan terdedah kepada jenayah rentas sempadan, penyeludupan senjata api, pemerdagangan manusia, dadah, dan macam-macam lagi, (termasuk) yang menggunakan pelajar.
“Soal keselamatan kita tak boleh pandang mudah, jadi kita nak kena ambil tahu semua perkara,” katanya.