36 tahun jadi Ahli Parlimen Serian, Richard Riot sasar penggal ke-9

36 tahun jadi Ahli Parlimen Serian, Richard Riot sasar penggal ke-9

Ahli politik berusia 74 tahun itu berkata beliau masih sihat dan mampu mewakili kerusi Parlimen berkenaan.

Timbalan Presiden SUPP Richard Riot Jaem berkunjung dari kampung ke kampung untuk meraikan perayaan Gawai bersama pengundi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Richard Riot Jaem menyuarakan hasrat mempertahankan kerusi Parlimen Serian pada PRU16, dengan harapan dapat menjadi wakil rakyat buat penggal kesembilan.

Riot yang akan berusia 75 tahun pada Disember ini berkata, beliau masih sihat dan mampu mewakili kawasan Parlimen itu selepas 36 tahun menjadi Ahli Parlimennya.

Bekas menteri persekutuan itu berkata, terpulang kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Openg dan kepimpinan SUPP memutuskan sama ada akan mencalonkannya semula.

“Jika saya diberi peluang, mengapa tidak? Saya masih sihat dan mampu terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya menurut Dayak Daily.

Jelasnya, beliau masih aktif di lapangan, kerap melawat komuniti luar bandar di kawasannya dan berkunjung dari kampung ke kampung untuk meraikan perayaan Gawai bersama pengundi.

Beliau berkata, usia hanyalah angka dan keupayaannya untuk terus berkhidmat dengan baik kepada rakyat lebih penting.

Riot julung kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Serian pada PRU 1990 sebagai calon bebas, menewaskan William Aham dari Barisan Nasional.

Beliau dipilih semula untuk tujuh penggal seterusnya atas tiket SUPP. Riot dilantik timbalan presiden parti itu sejak 2011 dan merupakan timbalan presiden bukan Cina pertama dalam sejarah SUPP.

Riot dilantik timbalan menteri luar dari 2010 hingga 2013, sebelum dinaikkan pangkat sebagai menteri sumber manusia dari 2013 hingga 2018, sehingga kerajaan Barisan Nasional tumbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.