Wan Saiful: Polisi PH akan kembalikan keyakinan

Wan Saiful: Polisi PH akan kembalikan keyakinan

Beliau berkata PH akan penuhi janji selepas agensi penarafan Moody memberi amaran tentang langkah menghapuskan GST dan pengenalan semula subsidi minyak.

PETALING JAYA:
Pakar stategi PPBM memberi jaminan dasar baru ekonomi yang akan diperkenalkan kerajaan baru persekutuan akan mengatasi keraguan penganalisis asing dan agensi penarafan kredit.

Wan Saiful Wan Jan berkata, “apabila berlaku pertukaran kerajaan, akan wujud tahap ketidakpastian tertentu selama beberapa hari. Tetapi setelah polisi kami dilaksanakan dan diterangkan kepada umum, selain menjelaskan arah yang diambil, keadaan akan menjadi lebih baik.

“Kami akan tunaikan janji dan juga bantu penganalisis kewangan memahami arah tujuan kami.”

Semalam dilaporkan agensi Moody memberi amaran terhadap beberapa polisi PH yang akan memberi kesan negatif kepada taraf penarafan kredit Malaysia.

Ia menyebut, pemansuhan GST (GST) akan meningkatkan pergantungan negara kepada hasil minyak sekiranya tidak ada langkah diambil bagi menggantikan kehilangan hasil akibat polisi itu.

Pengenalan semula subsidi minyak juga dilihat akan mengganggu mekanisme penentuan harga pasaran, katanya.

Wan Saiful berkata, pelabur akan kembali yakin kerana PH menawarkan urus tadbir lebih baik, ketelusan dan pemerintahan berdasarkan undang-undang dan ini akan memperbaiki penarafan kredit.

“Penghapusan GST dan pengenalan semula subsidi minyak hanyalah 2 daripada banyak janji kami berkaitan ekonomi. Terdapat banyak langkah pembaikan institusi dalam manifesto PH yang pasti meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

PH berjanji menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari mengambil alih kuasa, 3 tahun selepas ia dilaksanakan pada 2015. Tahun lepas kerajaan mendapat pendapatan berjumlah RM44 bilion daripada cukai itu.

PH bercadang menggantikan GST dengan cukai jualan dan perkhidmatan yang membawa pendapatan sebanyak RM17 bilion kepada kerajaan pada 2014.

Ia juga berjanji untuk memperkenalkan semula subsidi minyak untuk motosikal di bawah 125cc dan kereta di bawah 1,300cc.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.