Isu menteri kanan: Khairuddin curiga motif Rafizi bercakap kepada media
Khairuddin Abu Hassan berkata menimbulkan isu pelantikan menteri kanan kepada media boleh membinasakan keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan.
PETALING JAYA: Penyelaras Gerakan Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mencurigai motif Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menimbulkan isu pelantikan menteri kanan kepada media kerana ia boleh “membinasakan” keyakinan rakyat kepada Pakatan Harapan.
Menyifatkan tindakan Rafizi boleh mengundang padah pada PH secara menyeluruh, Khairuddin mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan baru beberapa hari terbentuk dan oleh itu Rafizi sepatutnya menggunakan saluran dalaman parti untuk meluahkan pandangan secara tertutup.
“Apakah Rafizi sengaja nak jahanamkan struktur perpaduan PH? Adakah Rafizi hendak bagi rakyat hilang keyakinan pada PH?
“Tolonglah jangan lakukan sesuatu tindakan yang boleh merugikan kita semua,” kata Khairuddin dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin meminta Rafizi menghentikan “sikap buruk” suka bercakap mengenai dasar, keputusan serta pendirian PH kepada media, kerana beliau sepatutnya bijak bersuara demi menjaga imej perpaduan PH.
“Kepimpinan tertinggi PH harus ambil tindakan disiplin ke atas sesiapa saja yang suka menegur tanpa guna saluran dalaman yang betul tetapi lebih gemar menggunakan platform media,” katanya.
Pertikaian muncul selepas Dr Mahathir mengumumkan pelantikan pemimpin DAP, Amanah dan PPBM ke 3 menteri portfolio kanan kepada Malaysia dalam sidang media semalam.
Kemudian, Rafizi di Twitter menulis PKR beranggapan “pengumuman yang dibuat tidak muktamad” kerana “perbincangan masih berjalan”.
“Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam PH,” katanya dalam kenyataan rasmi selepas itu, dan menambah ramai bertanyakan mengapa jawatan kanan tidak diberi kepada partinya.
Dr Mahathir menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan.
Menurut Rafizi, satu perbincangan berlangsung antara Dr Mahathir dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras selepas sidang media diadakan.
Lewat malam semalam, Mohamad Sabu tampil mempertahankan keputusan Dr Mahathir, mengatakan ia sudah dibincangkan di mesyuarat presiden PH dan kata putus pelantikan Kabinet prerogatif perdana menteri.
Mat Sabu kata putus lantikan Kabinet di tangan PM
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram