Dr M jumpa semua KSU hari ini

Dr M jumpa semua KSU hari ini

Perdana menteri akan memberi penjelasan mengenai apa yang akan dilakukan kerajaan baharu khasnya dalam menentang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

Free Malaysia Today
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak mahu menteri yang dilantik terlibat dalam amalan korupsi.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menemui semua ketua setiausaha (KSU) kementerian hari ini bagi menjelaskan fungsi dan peranan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata sesi tersebut akan digunakan untuk memberi penjelasan mengenai apa yang akan dilakukan kerajaan baharu khasnya dalam menentang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

“InsyaAllah esok (hari ini) saya akan menemui semua KSU kementerian dan menerangkan kepada mereka apa hasrat kita dan apa yang akan kita lakukan khasnya berkaitan rasuah,” katanya dalam sesi penerangan khas di kediaman beliau di Seri Kembangan dekat semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai apa yang akan berlaku kepada 1.6 juta penjawat awam memandangkan, dalam laporan sebelum ini, akan wujud penggabungan kementerian dalam kabinet baharu yang bakal dibentuk kerajaan PH.

Dr Mahathir menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri Dalam Negeri, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu sebagai menteri Pertahanan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri Kewangan.

Mengulas lanjut mengenai anti-rasuah dalam pentadbiran kerajaan baharu itu, Dr Mahathir berkata kerajaan sangat bertegas dalam hal tersebut kerana tidak mahu menteri yang dilantik terlibat dalam amalan korupsi.

Pengerusi PH itu menjelaskan sejak kempen pilihan raya umum, PH menerima sumbangan yang banyak untuk membiayai pilihan raya itu dan kini, setelah dipilih rakyat menjadi kerajaan, segala bentuk sumbangan dan derma tidak boleh diterima mana-mana pihak melainkan dengan keizinan atau dimaklumkan kepada kabinet.

“Kadang-kadang ada orang ramai bagi sumbangan dalam bentuk hadiah. Hadiah yang boleh diberi adalah dalam (bentuk) makanan, tetapi bukan dalam (bentuk) barangan bernilai,” katanya.

Menyentuh mengenai kabinet baharu pula, Dr Mahathir berkata pengumumannya akan dibuat secepat mungkin.

“Kita akan bentuk kabinet kecil yang mengandungi 10 orang sahaja. Kita sudah ada 3 orang, dan kita perlu 7 lagi untuk cukupkannya secepat mungkin dengan setiap parti memberi calon nama dan kementerian pilihan mereka.

“Saya harap ia dapat diselesaikan dalam minggu ini, jadi, kita dapat bentuk kabinet 10 orang,” katanya.

Dr Mahathir menjelaskan selaku perdana menteri, akan menyemak senarai calon tersebut sebelum membuat keputusan mengenai jawatan mereka selepas merujuknya terlebih dahulu dengan presiden parti masing-masing.

Beliau menarik perhatian kabinet itu akan bergerak sebagai kabinet yang sah, sementara kerajaan memilih calon lain dari negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kabinet lengkap itu tidak akan melebihi 30 kementerian,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.