
Menurut tinjauan Bloomberg dalam kalangan pakar ekonomi, walaupun data Khamis lepas menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6% pada suku pertama tahun ini, namun perkembangan pada baki 2018 akan bergantung kepada polisi yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan Dr Mahathir.
Antara yang utama ialah bagaimana kerajaan mahu mengimbangi kurangan besar hasil cukai akibat penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 6%, rancangan memperkenalkan semula subsidi minyak, dan perincian bagaimana projek infrastruktur mahu dikaji semula.
Malaysia mengalami lonjakan ekonomi sebelum pilihan raya lalu berikutan perbelanjaan domestik yang teguh dan peningkatan eksport.
Bank Negara mengunjurkan peratus pertumbuhan antara 5.5% ke 6% bagi tahun 2018, walaupun pakar ekonomi menjangkakan angka lebih rendah pada 5.4%.
Walaupun jika pertumbuhan eksport mengurang sedikit, pemacu pertumbuhan Malaysia akan kekal utuh. Peningkatan harga minyak dan kemungkinan peningkatan perbelanjaan penggunaan hasil pemansuhan GST, subsidi minyak dan gaji minimum lebih tinggi, kadar pertumbuhan negara berkemungkinan lebih baik daripada jangkaan asal.
Berikut adalah faktor utama yang mempengaruhi unjuran pertumbuhan.
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
Semalam kementerian kewangan berkata, kadar GST 6% akan disifarkan bermula 1 Jun depan bagi memenuhi janji dibuat Dr Mahathir dalam kempen pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
Oxford Economics menganggarkan penghapusan GST dan pelaksanaan langkah perbelanjaan populis lain mungkin akan menambah keluaran dalam negara kasar sebanyak 0.2 ke 0.4%.
Pengundi yang tidak berpuas hati menyalahkan GST yang diperkenalkan pada 2015 sebagai penyebab utama peningkatan kos hidup. Penghapusannya boleh membantu menurunkan harga dan meredakan inflasi, dan menyokong perbelanjaan pengguna.
Defisit belanjawan
Penghapusan GST akan menggugat belanjawan kerajaan, dan ia belum menjelaskan bagaimana mahu mengisi kurangan besar itu.
Defisit fiskal menurun kepada 3% KDNK tahun lepas dan Oxford Economics menjangka ia akan melebar kepada purata 3.3% bagi tempoh 2018-19 berbanding anggaran dasar 2.8%. Bagi mengawal paras hutang dan kejatuhan penarafan kredit, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan, dan jika itu berlaku, pertumbuhan ekonomi akan tergugat.
“Kami menjangkakan risiko kemerostoan terhadap unjuran pertumbuhan paling kurang untuk tempoh setahun,” kata Euben Paracuelles, pakar ekonomi di Nomura Holdings Inc di Singapura.
“Soalan lebih besar ialah bagaimana hasil yang bakal hilang itu digantikan sama ada oleh pengurangan perbelanjaan atau langkah lain dari sudut hasil. Ini masih belum jelas sekarang.”
Projek infrastruktur
PH pimpinan Dr Mahathir berjanji untuk mengkaji semula semua projek mega asing bagi memastikan ia bebas rasuah, dan ini akan menghentikan pelaburan dan pembinaan. Salah satu projek itu ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan jangkaan kos sebanyak RM55 bilion dan dijadual siap pada 2024.
Harga minyak
Malaysia merupakan satu-satunya pengeksport bersih tenaga dalam kalangan ekonomi utama Asia dan kenaikan harga minyak akan memberi faedah kepadanya.
Industri tenaga mnyumbang sebanyak satu perlima kepada KDNK sepanjang dekad lepas dan kerajaan mendapat 15% daripada hasilnya melalui sumber berkait petroleum.
Harga minyak kini menghampiri AS$71 satu tong dan dengan ketegangan geopolitik yang bertambah, harga dijangka terus tinggi.