Polis teruskan pencarian di rumah, pejabat Najib

Polis teruskan pencarian di rumah, pejabat Najib

Serbuan serentak di 2 pangsapuri, pejabat dan kediaman rasmi perdana menteri dan kediaman Najib, kata ketua unit jenayah komersial.

Free Malaysia Today
Amar Singh berkata pencarian dijalankan secara serentak di 5 tempat. (gambar Fail)
KUALA LUMPUR:
Polis akan teruskan pencarian di kediaman dan pejabat Datuk Seri Najib Razak dalam serbuan yang bermula semalam, ketika peguam bekas perdana menteri itu berkata tindakan polis di rumahnya itu satu gangguan.

Serbuan dijalankan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, menurut peguam Najib, Harpal Singh Grewal, yang hari ini berkata polis sudah mengambil 5 kotak berisi barangan tidak penting hari ini.

Polis berkata pencarian belum tamat. “Ia masih dijalankan di 5 tempat serentak,” kata Datuk Seri Amar Singh, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Serbuan ini menyusuli kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum minggu lepas dan seruan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan siasatan baru terhadap 1MDB, yang dicemari kontroversi rasuah dan pengubahan wang mencecah berbilion ringgit.

Amar Singh berkata pencarian sedang diteruskan di 2 pangsapuri milik keluarga Najib, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, dan kediaman rasmi perdana menteri yang digunakan Najib sepanjang 2 penggal sebagai perdana menteri dari 2009.

Amar tidak boleh mendedahkan kandungan kotak-kotak dalam lori polis yang meninggalkan kediaman Najib di Taman Duta. Satu sidang media akan diadakan selepas pencarian selesai.

Petang tadi, Harpal berkata polis cuba membuka peti simpanan yang terkunci selama 2 dekad di rumah Najib. Beliau berkata pencarian di rumah itu dari 10.00 malam semalam ke 5.00 pagi tadi tidak menemui bahan yang menunjukkan seseorang bersalah.

Beliau berkata tiada petunjuk Najib akan ditahan, dan keluarganya memberikan kerjasama dan polis bertindak secara profesional sehinggalah 5.00 pagi.

Dr Mahathir berkata ada bukti mencukupi untuk menyiasat skandal 1MDB. Semalam, ringkasan laporan siasatan ketua audit negara ke atas 1MDB dibuka kepada umum, mengandungi butiran salah urus dan transaksi kewangan yang dijalankan tanpa arahan lembaga pengarah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.