
KUALA LUMPUR: Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sedang mendapatkan nasihat guaman selepas Menteri Kewangan yang baru, Lim Guan Eng menggelarnya “tidak jujur” susulan pertemuan mereka semalam.
Katanya, tidak adil Lim menyelarnya secara terbuka, selepas beliau memberikan kerjasama penuh dan menjawab soalan yang diajukan kepadanya.
“Saya ditanya banyak soalan, saya jawab dengan jujur dan terbaik berdasarkan ingatan saya, tetapi tanpa sebarang dokumen sokongan dengan saya ketika itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan atas kapasiti peribadinya.
“Jadi, saya jawab semua soalan sebaik mungkin, dengan jujur dan berdasarkan pengetahuan saya, catatan rekod syarikat seingat saya, pengetahuan peribadi saya (atau terkurang), dan ingatan saya mengenai maklumat diberikan pegawai dalam syarikat.”
Semalam, Lim mendakwa Arul tidak mempunyai perasaan bersalah walaupun selepas kerajaan membayar RM7 bilion untuk melangsaikan hutang 1MDB.
Tetapi, Arul berkata, Lim dalam kenyataannya semalam tidak menyatakan bagaimana beliau memerangkapnya dengan soalan.
“Keadaan dan konteks jawapan saya dengan mudah diabaikan, sehingga menimbulkan tanggapan palsu dan memburukkan saya.”
“Pada masa sama, seperti yang saya lakukan dahulu, saya komited memberi kerjasama penuh dan terbaik berdasarkan pengetahuan saya dalam mana-mana siasatan berterusan atau baru berhubung perkara berkaitan 1MDB,” kata bekas pengurus bank pelaburan itu.
Semalam, Lim menyelar Arul sebagai seorang yang “tidak jujur” dan “tidak boleh dipercayai” selepas pertemuan 40 minit di Kementerian Kewangan.
Katanya, Arul mendakwa tidak tahu mengenai perkara berkaitan pelaburan 1MDB kerana ia dikawal ketat ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat itu.
“Arul Kanda mendakwa semua perkara kewangan ditangani oleh CFO syarikat, dan dia sama sekali tidak pasti nilai ‘pelaburan’ itu, atau sama ada ia wujud.
“Saya benar-benar sukar mempercayai seorang pengurus bank pelaburan bergaji tinggi dan ‘berpengalaman’ tidak tahu sama ada pelaburan bernilai RM9.8 bilion itu berlaku.
“Maklum balas Arul sangat mengejutkan dan tidak masuk akal kerana sebelum peralihan kerajaan, dia menjelajah di seluruh negara untuk berceramah tentang kemampuan kewangan 1MDB dan pelaburannya yang kukuh.”