Peguam: SPRM serbu rumah Musa Aman, tiada rampasan

Presiden STAR, Jeffrey Kitingan juga disoal SPRM dan rumahnya diperiksa Isnin lalu kerana disyaki menerima RM20 juta untuk menyokong Musa Aman membentuk kerajaan negeri selepas PRU14. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman di Luyang di sini, Rabu lepas, tetapi tidak merampas apa-apa barang, menurut peguamnya, Zahir Shah.

Zahir dalam satu kenyataan hari ini berkata, SPRM mengesahkan sepasukan pegawai penyiasat menyerbu kediaman pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu, tetapi tidak mengambil apa-apa barang.

“Kami ingin memaklumkan ketika SPRM berada di sana untuk membuat serbuan, kami difahamkan oleh SPRM sendiri tiada rampasan dilakukan, iaitu tiada fail dan apa-apa dokumen diambil.

“Kami seterusnya difahamkan dan disahkan oleh SPRM bahawa tiada apa-apa penyitaan dilakukan, selepas insiden tersebut (pada 23 Mei),” katanya.

Isnin lalu, rumah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan juga diperiksa dan beliau disoal SPRM kerana disyaki menerima RM20 juta untuk menyebelahi Musa pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sehari selepas PRU14, iaitu (10 Mei lalu), Musa mengumumkan STAR yang memenangi 2 kerusi DUN pada pilihan raya itu, mengisytiharkan sokongan kepada BN Sabah yang menang 29 kerusi, dan dengan itu membolehkan Musa membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, 31 kerusi.

Pada malam 10 Mei, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah, tetapi 48 jam kemudian, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri selepas beberapa adun BN menyertai Warisan dan parti gabungan Pakatan Harapan yang memenangi 29 kerusi.