Saya tak terima surat dipecat Umno, kata MB Perlis

Saya tak terima surat dipecat Umno, kata MB Perlis

Azlan Man berkata, isu bagaimana pentadbiran kerajaan negeri berjalan tanpa exco tidak dapat diputuskan buat masa ini.

Free Malaysia Today
Azlan Man berkata, soal pemecatan sepatutnya tidak timbul memandangkan perkara itu tidak boleh diputuskan seorang individu sahaja. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata beliau tidak menerima apa-apa surat pemecatan daripada Umno mahupun Barisan Nasional (BN) walaupun Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan perkara itu semalam.

Beliau berkata, soal pemecatan sepatutnya tidak timbul memandangkan perkara itu tidak boleh diputuskan seorang individu sahaja.

“Tak ada surat…siapa yang pecat? Tak ada pemecatan…bukan boleh dilakukan oleh individu,” katanya ringkas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, selepas menghantar Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berlepas ke ibu negara.

Semalam, Azlan, 60, yang merupakan adun Bintong, dilantik sebagai menteri besar Perlis bagi penggal ke-2 selepas BN memenangi pilihan raya 9 Mei lepas dengan menguasai 10 daripada 15 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan 3 kerusi dan PAS 2 kerusi.

Semalam, Shahidan mengumumkan cadangan memecat Azlan kerana didakwa tidak mendapat sokongan majoriti, selepas 9 adun BN Perlis menolak pelantikannya.

Ditanya bagaimana pentadbiran kerajaan negeri berjalan, sekiranya adun yang sepatutnya dilantik sebagai exco tidak menyokong beliau, Azlan berkata, perkara itu tidak dapat diputuskan buat masa ini.

“Itu kita perlukan masa, tapi saya tak nak komen lebih-lebih buat masa ini, cuma saya akan teruskan kerja saya sebagai menteri besar,” katanya.

Beliau kemudiannya memanggil sekumpulan penyokong dan rakyat Perlis yang berada di kompleks itu untuk menyampaikan amanat Raja Perlis.

“Tuanku amat berbesar hati menghargai dan mengucapkan terima kasih pada semua yang datang untuk menghantar baginda berangkat ke Kuala Lumpur,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 20 daripada mereka membawa sepanduk yang tertulis “Daulat Tuanku, Rakyat Perlis Teguh Bersama Raja Perlis” serta ucapan tahniah kepada Azlan atas pelantikan sebagai menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.