
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata kementeriannya sudah menghantar cadangan itu kepada kerajaan kerana ia boleh mempromosikan RTM serta meningkatkan jumlah penonton.
“Kami berharap keputusan itu akan memihak kepada kami,” katanya selepas melawat Wisma Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang meminta kerajaan mengkaji kemungkinan menyiarkan perlawanan Piala Dunia secara langsung.
Ditanya kos untuk mendapatkan hak siaran langsung itu, Gobind berkata, beliau akan mengumumkan kos itu sebaik sahaja Kabinet membuat keputusan mengenai cadangan berkenaan.
Piala Dunia FIFA 2018 akan berlangsung di Rusia dari 14 Jun hingga 15 Julai ini.