
Fadzil berkata, Jamal masih mempunyai baki 6 kes yang disiasat selain 3 kes yang sudah dituduh terhadapnya di Hospital Pakar Ampang Puteri 25 Mei lalu.
“Pihak polis sudah memberikan masa yang cukup untuk Jamal memberikan kerjasama dalam semua siasatan dan prosedur yang sedang dijalankan.
“Namun beliau masih gagal untuk memberikan respon sepatutnya. Malah, sentiasa cuba berdolak dalik dalam kenyataan kenyataan viral yang dilakukan beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jamal dalam rakaman video berdurasi selama lebih 7 minit memohon perlindungan dari Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bimbangkan keselamatan dirinya.
Beliau merayu dirinya tidak dizalimi selepas rumahnya diserbu dan kediaman ibu dan rakan-rakannya dikunjungi polis.
Sebelum ini, peguamnya, Datuk Imran Tamrin merayu Jamal supaya hadir ke IPD Ampang Jaya bagi menyelesaikan proses ikat jamin yang diperintahkan terhadapnya.