
Keluarga Guligeina Tashimaimati bimbang gadis itu ditahan di kem pemulihan politik komunis, yang diwujudkan untuk melawan aspirasi kemerdekaan etnik Uighur, termasuk mengawal penyataan Islam dalam masyarakat itu.
Laman Radio Free Asia (RFA) melaporkan Guligeina pulang ke bandar Ghulja pada 26 Disember lalu untuk mengetahui keadaan ibu bapa selepas menamatkan pengajian sarjana di Johor.
Kakaknya, Gulizire, yang menetap di Jerman berkata, Guligeina langsung terputus hubungan dengan keluarga ketika menuntut di Malaysia.
“Dia membuat keputusan untuk pulang ke kampung untuk bertemu ibu bapa dan adik kami kerana dia begitu bimbang tentang mereka.
“Saya berulang kali memintanya jangan pulang tetapi dia tak dengar. Dia kata, ‘saya mesti pulang dan mengetahui apa yang berlaku kepada ibu bapa kita sebelum menyambung pengajian.
“Walaupun saya ditahan, mereka akan membebaskan saya selepas 3 hingga 6 bulan. Jika saya tak pulang, mereka akan membawa ibu bapa kita pergi’.”
Kewujudan kem pemulihan politik di wilayah pemisah itu tidak diakui secara terbuka oleh Beijing, tetapi pegawai kerajaan tempatan memaklumkan RFA sejumlah besar orang Uighur dihantar ke kem di serata Xinjiang kerana memiliki “pandangan agama yang kuat” dan “pandangan politik yang salah”.
Sepanjang tahun lalu, Beijing mengarahkan orang Uighur yang belajar di luar negara termasuk Mesir, Turki, Perancis, Australia dan Amerika Syarikat pulang ke Xinjiang dan kemudian menahan mereka di kem pemulihan.
Kerajaan komunis China menyalahkan kes-kes serangan pengganas pada Uighur tetapi penganalisis berkata keganasan di wilayah itu berpunca daripada dasar domestik Beijing di sana.
Menurut Gulizire, Beijing membataskan perjalanan etnik Uighur ke Malaysia kerana risiko indoktrinasi Islam pelampau, dan percaya adiknya menarik perhatian pihak berkuasa China kerana menuntut di sini.
Siasatan penuh
Kali terakhir Guligeina pulang ke China dari Malaysia pada Mac tahun lepas dan “menjalani siasatan penuh” oleh pihak berkuasa.
“Sampel darah diambil untuk pangkalan data DNA, dan dia diarah memberikan salinan pasport dan dokumen lain, termasuk surat aku janji yang menyatakan dia akan kembali setelah selesai pengajiannya.
“Guligeina berkata pada masa itu keadaan politik sangat tegang dan dia hanya dibenarkan keluar negara selepas menandatangani ikrar untuk kembali,” katanya.
Gulizire berkata satu-satunya cara Guligeina memberi isyarat dia sampai ke kampung dengan selamat adalah dengan menukar gambar profilnya dalam aplikasi WeChat kepada gambar ibu mereka. Guligeina sepatutnya menukar gambar itu seminggu sekali untuk menandakan dia masih bebas.
“Dia menukar gambar profilnya kepada gambar ibu selepas tiba di rumah, tetapi gambar itu tidak berubah sejak itu…ibu saya juga mengeluarkan saya dari kenalan WeChat Januari lalu,” katanya.
Rakannya di sana memaklumkan Guligeina sudah diambil pihak berkuasa untuk sesi pemulihan, dan sebaik menghantar mesej itu, rakannya juga mengeluarkannya dari kenalan WeChat.
Menurut Gulizire, adiknya memaklumkan keadaan keluarga mereka kepada UTM dan pegawai universiti berjanji jika dia tidak kembali pada akhir Februari untuk pengajian falsafahnya, mereka akan membuat pertanyaan melalui Kedutaan China.
“Guligeina meminta saya jangan terlibat jika sesuatu berlaku kepadanya. Sudah lebih 6 bulan saya tak dengar berita jadi saya mengambil keputusan untuk bercakap kepada media dan badan hak asasi manusia,” katanya.
Februari lalu, Human Rights Watch (HRW) menggesa Malaysia tidak mengusir 11 etnik Uighur yang dilaporkan ditahan di Malaysia, selepas melarikan diri dari penjara Thailand tahun lepas.
“Etnik Uighur yang dihantar pulang ke China secara paksa dipercayai berdepan ancaman penjara dan penyeksaan, jadi ia sangat kritikal agar Malaysia tidak mengusir mereka yang didakwa sebagai etnik Uighur secara paksa ke China,” kata Pengarah HRW Asia, Brad Adams.
Malaysia digesa jangan hantar pulang umat Islam Uighur ke China