Guan Eng: Penaja serap kos RM30 juta siaran langsung Piala Dunia

Guan Eng: Penaja serap kos RM30 juta siaran langsung Piala Dunia

Menteri kewangan itu berkata, kerajaan boleh mendapatkan kembali kos siaran langsung itu melalui pengiklanan, tanpa perlu 'membelanjakan sesen'.

GEORGE TOWN:
Peminat bola sepak tempatan boleh menonton siaran langsung semua aksi Piala Dunia FIFA 2018 secara percuma di Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana ada penaja yang sanggup menyerap kos RM30 juta untuk hak penyiaran itu, kata Lim Guan Eng.

Menteri kewangan berkata, kerajaan boleh mendapatkan kembali kos siaran langsung itu melalui pengiklanan, tanpa perlu “membelanjakan sesen”.

“Kami akan dapat kembali RM30 juta itu, kami tidak akan belanja sesen pun untuk Piala Dunia.

“Rakyat Malaysia akan jimat sehingga RM100 (berbanding langganan untuk televisyen berbayar),” katanya menafikan kritikan kerajaan akan membelanjakan semua kutipan dalam Tabung Harapan Malaysia (THM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sebelum ini berkata, RTM akan menyiarkan 41 perlawanan yang menelan belanja RM30 juta, dengan 27 daripada aksi itu disiarkan secara langsung.

Katanya, siaran langsung itu boleh mempromosikan RTM dan meningkatkan jumlah penontonnya.

Keputusan menyiarkan perlawanan Piala Dunia 2018 dibuat Kabinet bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan untuk siaran langsung temasya 4 tahun sekali itu secara percuma.

Piala Dunia FIFA 2018 akan berlangsung di Rusia dari 14 Jun hingga 15 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.