
Rosmah yang berbaju kurung biru dan berselendang merah dilihat keluar dari ibu pejabat SPRM Putrajaya sekitar 3.45 petang tadi diiringi 2 peguam, K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.
Beliau keluar dari pintu SPRM dan terus ke kereta yang menanti tanpa bercakap kepada media.
“Datin Seri Rosmah memberi kerjasama penuh sepanjang proses ini dan dilayan dengan baik oleh pegawai penyiasat. Proses selama 3 jam ini berlangsung dengan baik dan anak guam kami akan terus bekerjasama kepada agensi bila-bila masa diperlukan,” kata Kumaraendran kepada pemberita.
Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM pada 10.45 pagi tadi bersama peguam, dan ditemani anak perempuannya, Nooryana Najwa dan menantu, Daniyar Kessikbayev.
Beliau menjadi tumpuan media sejak polis menggeledah kediamannya yang menyaksikan rampasan lebih 300 beg tangan, kebanyakannya jenama mewah seperti Hermes Birkin.
Beliau dan Najib dipanggil memberi keterangan dalam siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB dan RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib pada 2012.
Najib disoal SPRM mengenai SRC International sebanyak 2 kali, iaitu pada 22 dan 24 Mei lalu yang keseluruhannya mengambil masa lebih 11 jam.
Bekas menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, menafikan sebarang salah laku berkaitan syarikat pelaburan itu.
Pada 26 Januari 2016, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib dalam kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.
SRC International yang ditubuhkan pada 2011, kini di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang turut memiliki 1MDB.