Guan Eng perlu lebih berhati-hati, pesan Najib

Najib yakin semua prosedur dan proses perundingan berkaitan dengan rundingan dan perlaksanaan projek saluran gas itu dipatuhi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sempat menasihatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng agar berhati-hati dalam membuat dakwaan “bermotif politik” yang dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan luar negara.

Beliau berkata demikian selepas Lim menamakan sebuah syarikat China, China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB), anak syarikat kepada syarikat milik kerajaan China, China National Petroleum Corporation (CNPC), dalam satu pendedahan hari ini.

Kerajaan hari ini berkata sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Sdn Bhd (SSER) dibayar RM8.3 bilion atau 88% daripada nilai kontrak, tetapi hanya 13% kerja pembinaan 2 saluran paip di Kedah dan Sabah disiapkan.

Projek itu diberikan kepada CPPB pada November 2016.

“Saya mengalu-alukan penyiasatan secara telus dan terbuka terhadap kedua-dua projek ini, namun kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan bermotif politik terutama melibatkan syarikat milik sebuah negara asing yang mungkin akan mencetuskan kesan negatif terhadap hubungan dan perdagangan antarabangsa Malaysia,” katanya di Facebook.

“Saya turut dapati Guan Eng telah menyebut kesemua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian dan bukan kepada pihak-pihak lain.”

Najib yakin semua prosedur dan proses perundingan berkaitan dengan rundingan perlaksanaan 2 projek saluran paip itu sudah dipatuhi dan mengingatkan Perdana Menteri China, Li Keqiang sendiri menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman projek saluran gas itu pada 14 Mei 2017.

“Pada majlis yang sama, China turut memberikan komitmen untuk mengimport barangan bernilai AS$2 trilion bagi tempoh 5 tahun dari Malaysia, membuat pelaburan sehingga AS$150 bilion di Malaysia dan menawarkan 10,000 tempat bagi latihan serta pendidikan untuk rakyat Malaysia di pelbagai institut di China.

“Tidak lupa pula komitmen daripada kerajaan China membantu pekebun kecil sawit di Malaysia dengan pembelian tambahan minyak sawit daripada kita,” katanya.

Bayar syarikat dikaitkan Jho Low RM8.3 bilion, hanya 13% kerja selesai