Khalid Samad lepas tuduhan menghasut

Khalid Samad lepas tuduhan menghasut

Mahkamah Sesyen hari ini mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan tuduhan menghasut terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Free Malaysia Today
Khalid Samad (kiri) bersama peguam beliau Hanipa Maidin di luar Mahkamah Sesyen. Khalid dilepaskan daripada tuduhan menghasut.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad daripada tuduhan mengahasut kerana didakwa mempersoalkan kuasa Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor 4 tahun lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah mendapati pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa raya Othman Abdullah gagal membuktikan tuduhan terhadap Khalid di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

“Kenyataan mengenai kajian semula ke atas kuasa Mais di bawah enakmen negeri hanyalah satu cadangan oleh tertuduh sebagai Ahli Parlimen Shah Alam bagi membaiki majlis agama,” kata beliau, merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor atau Mais.

Beliau juga berkata, cadangan Khalid adalah dibenarkan di bawah Akta Hasutan.

“Mahkamah mesti membezakan antara apakah ucapan politik dan tidak boleh bergantung kepada kenyataan daripada saksi,” kata Rohatul.

Khalid sebelum ini meminta dibicarakan terhadap tuduhan menghasut pada Ogos 2014 kerana didakwa mempersoalkan tindakan Mais tidak membenarkan kitab Injil berbahasa Melayu, walaupun bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, mengarahkan pihak berkuasa agama itu berbuat demikian.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Ahli Parlimen 3 penggal itu berkata beliau berasa lega mahkamah membuat keputusan melepaskannya.

“Saya tidak berniat untuk membuat kenyataan menghasut itu pada masa itu, saya hanya mencadangkan semakan ke atas enakmen agama Islam negeri supaya tindakan Mais tidak memberi kesan kepada imej Sultan Selangor,” kata beliau.

Peguam Khalid, Hanipa Maidin berkata, beliau berharap pihak pendakwa tidak membuat rayuan terhadap keputusan pembebasan Khalid itu.

“Saya harap dia (Khalid) merupakan ‘mangsa’ terakhir Akta Hasutan,” katanya, dan menambah tidak perlu ada pendakwaan terhadap hasutan lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.