
Hakim N Kanageswari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Khairunnisa Ahmad Damamhuri, 41, dan mengarahkan hukuman penjara itu bermula hari ini, lapor Harian Metro.
Mahkamah turut memerintahkan Khairunnisa dipenjara empat bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.
Selain itu, Khairunnisa turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 48 jam sebaik saja selesai menjalani hukuman penjara serta bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Mengikut pertuduhan, Khairunnisa didakwa mengabaikan kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa dengan cara yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, pada 22 Feb 2022.
Khairunnisa didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam S Kavittha, manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron.
Pada 31 Julai 2024, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian bayi itu yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhan itu, adalah disebabkan tekanan pada leher.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa mangsa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 Sept 2022.