Bersepah parkir kereta di jalanan kejar sembahyang di masjid

Keghairahan mengejar pahala terutamanya pada bulan Ramadan membuatkan ada yang terlupa perkara asas dalam kehidupan bermasyarakat termasuk soal hormat menghormati sesama insan.

Contoh paling mudah ialah sikap meletak kenderaan sesuka hati termasuk mereka yang mahu mengikuti kelas agama mahupun untuk menunaikan solat tarawih di masjid atau surau di taman perumahan.

Memang tidak dinafikan ramai yang mahu ‘mengumpul saham’ pada bulan yang mulia yang hadirnya hanya setahun sekali.

Namun begitu, ia bukan alasan untuk bersikap tidak peka dan hanya mementingkan diri sehingga mengabaikan rasa hormat kepada individu lain lebih-lebih lagi penduduk kawasan perumahan berkenaan.

Meletak kenderaan sesuka hati mahu pun atas alasan untuk beribadah bukan sahaja menyusahkan bahkan boleh menimbulkan suasana tidak menyenangkan sekiranya berlaku perselisihan faham.

Baru-baru ini kereta saya ‘dihentam’ seorang wanita berusia lingkungan 60-an yang ‘sedaya upaya ‘ mahu meletak kenderaannya di belakang rumah saya atau lebih tepat di belakang kereta saya.

Perbuatan meletak kereta di belakang rumah saya dan jiran bukanlah sesuatu yang baru kerana rumah saya yang terletak di Damansara berhampiran masjid selain jiran juga sering mengendalikan aktiviti usrah dan kelas agama.

Meskipun terdapat 2 lot parkir yang boleh memuatkan hampir 100 buah kereta disediakan, mereka yang datang bagaimanapun lebih gemar meletak kenderaan di belakang rumah penduduk bagi memudahkan mereka ‘terus keluar’ apabila selesai urusan.

“Makcik tak sengaja dik. Benda dah nak jadi,” demikian kata wanita itu saat saya membuka pintu belakang rumah dan melihat kereta saya sudah kemek teruk di bahagian belakang malah ‘melekat’ dengan belakang keretanya!

Bukan itu sahaja, disebabkan kawasan rumah agak berbukit, kereta saya turut kemek di bahagian hadapan kerana tertolak ke depan dan terkena tiang lampu akibat hentaman kuat dari keretanya.

Pendek kata habis teruk bahagian depan dan belakang kereta saya. Ibarat ‘habis kata’, lidah kelu tak tahu nak cakap macam mana. Nak marah orang tua, nanti saya dikata tak hormat pula, lagipun ramai yang menghadiri kelas usrah hari itu datang berkerumun.

Secara jujur hati memang sakit tetapi alhamdulillah saya dapat mengawal perasaan marah dan banyak berdiam diri sehinggalah suami saya mengalihkan kenderaan beliau yang ‘melekat’ dengan kereta saya.

“Kenapalah ramai yang datang suka sangat nak ‘parking’ dekat rumah orang ya? Kan ada banyak tempat lain untuk letak kereta, tak kisah langsung kat kami yang memang duduk sini,” luah saya kepada wanita itu dengan nada hormat memandangkan usianya yang lebih tua.

“Benda nak jadi dik. Mak cik selalu letak kereta kat sini (jarinya menunjukkan ke arah belakang rumah saya) tapi hari ni benda nak jadi. Minta maaflah dik,” ujarnya yang asyik mengulangi jawapan yang sama, iaitu ‘benda nak jadi’.

Saya tidak tahu jika orang lain di tempat saya apa yang akan terjadi jika mendengar jawapan beliau, tetapi saya ketika itu cukup bersabar walaupun sebenarnya di dalam hati Allah sahaja yang tahu.

Bagi pasangan bekerja seperti kami suami isteri, memiliki kereta masing-masing adalah keperluan yang amat penting kerana situasi kerja memerlukan kami untuk keluar dan bukan duduk di pejabat semata-mata.

Soal menghantar dan menjemput anak sekolah, kami bergilir siapa yang awal dialah yang akan jemput jika seorang lagi ada kerja dan perlu pulang lewat.

Segala urusan seperti pulang ke kampung, berjalan jauh atau ke mana-mana, memang kereta yang ‘dihentam’ inilah yang akan digunakan. Tambahan, kami ada majlis penting yang perlu dihadiri dalam masa terdekat dan pastinya memerlukan kereta ini seperti lazimnya.

Memang pening memikirkan kereta yang terpaksa dihantar ke bengkel, ibarat patah sebelah kaki!

Dipendekkan cerita selesai semua urusan laporan polis, tuntutan insurans dan sebagainya, kereta terpaksa kami hantar ke bengkel biasa kerana jika dihantar ke panel, ia memakan masa sekurang-kurangnya tempoh 3 atau 4 bulan untuk siap.

Dalam tempoh itu, mustahil kami boleh ‘bertahan’ kerana seperti saya katakan kereta adalah keperluan yang amat penting buat kami, tambahan pula pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.

Sementara menunggu kereta siap di bengkel dalam tempoh hampir 3 minggu, kami suami isteri bergilir membawa kereta yang satu lagi.

Adakalanya suami terlebih dahulu menghantar anak ke sekolah dan saya ke tempat kerja, bergantung kepada keadaan siapa yang lebih memerlukan kereta maka dialah yang akan bawa.

Suami juga terpaksa menggunakan perkhidmatan grab dan uber apabila saya ada kerja luar dan perlu memandu sendiri dan pastinya keadaan ini memerlukan belanja lebih kerana perlu membayar tambang.

Anak terpaksalah dihantar lebih awal dan banyak masanya terlewat jemput serta beberapa perkara lain yang turut terganggu.

Bukan kami tidak redha dengan ‘ujian’ ini dan bersyukur kerana masih mempunyai sebuah lagi kereta untuk digunakan cuma saya terkilan dengan sikap segelintir orang yang bersikap ambil mudah dan tidak menghormati hak orang lain.

Jika sudah berlaku, pihak yang seorang lagi mungkin menganggap kes selesai dan biar syarikat insurans uruskan tetapi bagi kami ia tidak semudah itu. Banyak perkara kami kena urus, atur dan terpaksa keluarkan belanja lebih termasuk menggunakan teksi.

Selain meletak kenderaan di belakang rumah, ada juga yang dengan sewenang-wenangnya meletak kereta di simpang masuk rumah penduduk yang bersebelahan masjid sehingga menghalang laluan keluar masuk.

Pernah juga saya dan beberapa penduduk yang lain menegur, namun kami pula yang dianggap sombong dan tidak bertimbang rasa. Sepatutnya dalam mengejar ilmu agama, perlu juga dijaga hubungan sesama manusia.

Ini juga bukan soal tidak boleh bertoleransi, tetapi peranan kita sebagai anggota masyarakat untuk saling menghormati antara satu sama lain.

Soal ‘benda nak jadi’ memang kita tak boleh elak, tetapi kita perlu berusaha dari awal untuk mengelakkan perkara buruk daripada berlaku akibat perbuatan kita.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Bernama dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)