
Beliau yang juga menteri pertahanan berkata perkara itu akan dibincangkan oleh pakatan tersebut dan terserah kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskannya.
“Saya yakin 2 negeri ini tidak akan dilupakan, saya yakin akan ada (lantikan senator) lagipun sekarang ini kabinet penuh belum lagi,” katanya selepas menghadiri majlis mesra Aidilfitri bersama menteri pertahanan anjuran PH Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, hari ini.
Turut hadir Pengerusi PH Kelantan Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Perdana menteri sebelum ini mengumumkan 13 menteri kabinet baru dan jumlah akhir dijangka mencecah 28 orang setelah ditambah wakil dari Sabah dan Sarawak.
Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata Amanah melantik sebuah badan khas untuk membuat kajian faktor parti itu kurang berjaya menarik sokongan rakyat di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang pada pilihan raya lepas.
Beliau berkata badan itu, yang tidak diberikan had tempoh kajian, perlu mengemukakan kritikan dan pandangan bagaimana Amanah dan PH dapat menawan ketiga-tiga negeri itu pada pilihan raya umum ke-15.
Kelantan dan Terengganu kini ditadbir oleh PAS manakala Pahang diperintah oleh Barisan Nasional.