Polis rujuk keterangan bapa Altantuya kepada timbalan pendakwa raya

Polis berkata, keterangan itu diambil susulan laporan polis dibuat Shaariibuu Setev di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

KUALA LUMPUR: Polis akan merujuk keterangan bapa Altantuya Shaariibuu yang diambil hari ini kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata pihaknya mengambil keterangan Shaariibuu Setev 9 pagi tadi.

“Polis akan merujuk semula siasatan ke pejabat timbalan pendakwa raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keterangan itu diambil susulan laporan polis dibuat Setev di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam.

Setev bersama peguamnya, Ramkarpal Singh membuat laporan polis semalam berhubung pembunuhan Altantuya 12 tahun lepas.

Ramkarpal dilaporkan berkata, laporan itu untuk meminta polis membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan berkenaan.

Altantuya ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan sekunder di Mukim Bukit Raja, Klang, antara 10 malam 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.

Pada 2013, Mahkamah Rayuan menterbalikkan hukuman mereka, namun susulan rayuan pihak pendakwaan, hukuman mati terhadap mereka dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia dan ditahan Imigresen di Sydney selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya. Dia berada di pusat tahanan itu sejak 2015 dan berharap mendapatkan suaka di Australia.