Musa Aman: Saya bukan pelarian, saya berubat di UK

Musa Aman berkata beliau telah mengarahkan peguamnya di Malaysia dan London jika ingin mendapatkan sebarang maklumat lanjut. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Musa Aman hari ini menafikan beliau melarikan diri, mengatakan beliau meninggalkan negara ini secara sah ke United Kingdom (UK) untuk dapatkan rawatan dan atas “alasan peribadi”.

Musa, yang mendakwa dilantik sebagai ketua menteri Sabah yang sah, berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau memfailkan tindakan undang-undang terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal atas “tindakan tidak berperlembagaan” oleh kedua-dua mereka.

Baru-baru ini dilaporkan polis sedang memburu Musa berhubung satu laporan ugutan jenayah terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar Mahiruddin.

Musa berkata laporan baru-baru ini mengatakan beliau meninggalkan Malaysia atau memasuki UK secara haram.

“Kesimpulannya adalah saya menjadi pelarian dan sengaja tidak menyerah diri kepada pihak berkuasa bagi penyiasatan berhubung majlis di Istana Negeri pada malam 10 Mei dan dalam perkara berkaitan.

“Inilah kebenarannya. Saya percaya sesetengah laporan ini dikesali dengan tujuan untuk memalukan atau mencemarkan nama baik saya dengan alasan politik.”

Katanya, beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei dan berada di UK “untuk tujuan perubatan dan urusan peribadi”.

“Saya telah memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan perintah terhadap kedua-dua Yang Dipertua Negeri Sabah dan Datuk Seri Shafie Apdal kerana melampaui kuasa dan tindakan yang tidak berperlembagaan oleh Yang Dipertua Negeri selepas saya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

“Dia secara tidak wajar meminta saya meletak jawatan dalam tempoh 48 jam, enggan menandatangani watikah pelantikan, dan mengangkat sumpah Shafie Apdal sebagai ketua menteri semasa saya masih berkhidmat. Perkara-perkara ini kini adalah subjudis dan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi akibat saman pemula saya.”

Musa berkata beliau telah menjelaskan kepada Ketua Polis Sabah Datuk Ramli Din bahawa beliau sanggup membantu polis dalam sebarang siasatan berhubung perkara tersebut.

“Saya telah mengarahkan kedua-dua peguam di Malaysia dan London dan apa-apa persoalan atau permintaan untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh berhubung dengan mereka.”

Krisis di Sabah tercetus apabila Barisan Nasional dan gabungan Warisan-Pakatan Harapan masing-masing memperoleh 29 kerusi DUN. Pada mulanya, Musa mendapat sokongan daripada 2 wakil rakyat Parti Solidarity Tanah Airku dan diangkat sumpah oleh Juhar.

Bagaimanapun, 2 hari kemudian, Shafie membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti apabila beberapa wakil rakyat dari parti lain menukar sokongan. Juhar meminta Musa meletakkan jawatan dan mengangkat sumpah Shafie sebagai ketua menteri baharu.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/24/polis-cari-musa-aman-siasat-laporan-dari-gabenor/