Zahid jadi presiden Umno ke-7

Zahid Hamidi mendahului jauh di depan bagi jawatan presiden Umno. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Umno menerusi Twitter mengumumkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai presiden parti ke-7 bagi mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak, susulan kekalahan mengejut parti itu dalam pilihan raya umum ke-14.

Dengan sekitar 90% daripada undi 191 bahagian dikira setakat 9.40 malam, Zahid mendahului dengan 93 undi, manakala Khairy Jamaluddin hanya mendapat 51 undi dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hanya mendapat 12% undi dari semua bahagian.

Ini juga adalah kekalahan ke-2 Razaleigh dalam usaha merebut jawatan presiden Umno, selepas kalah tipis 43 undi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan parti 1987.

Pada 2004, Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li menawarkan diri untuk menentang Perdana Menteri yang juga Presiden Umno ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, tetapi gagal mendapat peratusan pencalonan diperlukan.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan sebagai pemenang.

Setakat 9.42 malam, beliau mendapat 75 undi berbanding 55 undi yang diperolehi Tan Sri Annuar Musa.

Keputusan tidak rasmi setakat ini turut menunjukkan 3 jawatan naib presiden dimenangi bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mereka menewaskan 4 pencabar lain, iaitu bekas menteri kewangan kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Sheikh Razali Sheikh Ahmad.

Kira-kira 146,000 perwakilan daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara mengundi sejak pagi tadi dan proses mengundi tamat kira-kira 5 petang.

Pemilihan Umno ditangguhkan sejak 2016 bagi membolehkan parti itu menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum ke-14.

Jawatan presiden Umno menjadi tumpuan, selepas Najib melepaskan jawatan itu pada 12 Mei lalu atas kekalahan parti itu dan Barisan Nasional pada 9 Mei lalu.

Jawatan presiden Umno yang pertama kali dipertandingkan sejak pemilihan parti 1987 itu, menyaksikan pertandingan 5 penjuru antara Zahid, Khairy, Ku Li dan 2 calon kurang dikenali, Mohamed Iqbal Maricair serta Yusof Musa @ Jamaluddin.

Minggu lalu, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Zahida Zarik Khan diumumkan sebagai ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang baru.