
Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li kalah tipis, 43 undi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan parti pada 1987.
Pada 2004, beliau menawarkan diri untuk menentang Perdana Menteri yang juga Presiden Umno ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, tetapi gagal mendapat peratusan pencalonan diperlukan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan keputusan rasmi pemilihan parti itu berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memenangi jawatan nombor satu itu.
Beliau mengesahkan Zahid mendapat 78 undi berbanding Khairy Jamaluddin (53 undi) dan Razaleigh (28 undi).
Zahid akan menggalas tanggungjawab itu sehingga 2021.
Zahid memangku jawatan presiden Umno, selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan itu susulan kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya 9 Mei lalu.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula memenangi jawatan timbalan presiden dengan 110 undi, menewaskan bekas ketua penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang mendapat 47 undi.
Tengku Adnan berkata, hanya 2 daripada 3 calon diumumkan sebagai pemenang bagi jawatan naib presiden, iaitu bekas menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Bagi tempat ke-3 kita belum boleh sahkan lagi kerana kedudukan berubah antara Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani,” katanya pada sidang media di Auditorium Umno Pusat Dagangan Dunia Putra, awal pagi ini.
Beliau berkata, keputusan penuh akan diumumkan Ahad kerana pelbagai masalah dihadapi mereka dalam proses pengiraan undi.
Minggu lalu, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Zahida Zarik Khan dipilih untuk mengetuai sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.