Manipulasi projek RM300 juta, arkitek GLC direman

Manipulasi projek RM300 juta, arkitek GLC direman

Suspek merupakan individu kedua ditahan di dalam kes itu.

Free Malaysia Today
Lelaki tersebut yang pernah bertugas sebagai arkitek di GLC berkenaan dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi memanipulasi beberapa kos proses projek pembinaan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Seorang arkitek syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan reman selama 5 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewangan tender bernilai RM300 juta.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Raslan di Mahkamah Majistret di sini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu suspek tiba di perkarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 10 pagi berpakaian lokap SPRM berwarna oren sambil tangan bergari.

Perintah reman bermula hari ini hingga 5 Julai itu dikeluarkan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lelaki yang berusia 42 tahun itu ditahan jam 1.30 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Suspek merupakan individu kedua ditahan di dalam kes itu. Pada 28 Jun, ketua pegawai eksekutif GLC bergelar Datuk ditahan reman selama 3 hari dan dibebaskan semalam.

Berdasarkan laporan awal, lelaki tersebut yang pernah bertugas sebagai arkitek di GLC berkenaan dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi memanipulasi beberapa kos proses projek pembinaan.

Tambah sumber lagi, projek yang dianugerahkan kontraktor menerusi proses tender disabotaj menyebabkan ia gagal dilaksanakan sebelum diberikan kepada kontraktor pengganti dipercayai mempunyai kepentingan dengan arkitek terbabit, dan dikatakan dirancang lebih awal.

Salah guna kuasa, ketua pegawai eksekutif GLC direman

Salahguna kuasa, mahkamah bebas CEO GLC

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.