Najib tiba di mahkamah KL

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pagi ini dan akan didakwa berhubung dana SRC International Sdn Bhd dan RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Beliau tiba kira-kira jam 8.20 pagi dengan menaiki Proton Inspira berwarna merah.

Najib berkot biru turut diiringi pegawai polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketibaan bekas pemimpin negara itu disambut dengan laungan “bebas Najib” dan nyanyian “Allah selamatkan Najib, Allah selamatkan kamu” oleh sekumpulan penyokongnya yang berkumpul di perkarangan mahkamah itu.

Turut hadir ialah anak Najib, Mohd Nazifuddin, Nizar and Puteri Norlisa bersama beberapa ahli keluarga untuk memberi sokongan kepadanya.

Semalam, SPRM menahan Najib di kediaman peribadinya di Taman Duta pada 2.35 petang.

Beliau dijangka menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Sejak Barisan Nasional pimpinan Najib mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, beliau dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor disiasat SPRM.

Najib dipanggil SPRM sebanyak 2 kali pada 22 dan 24 Mei lalu, manakala Rosmah disoal siasat agensi anti-rasuah itu pada 5 Jun lalu dalam siasatan ke atas SRC International serta RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya pada 2012.