Polis nafi Zakir Naik akan dihantar pulang hari ini

Polis nafi Zakir Naik akan dihantar pulang hari ini

KPN berkata polis belum menerima apa-apa maklumat berhubung penghantaran pulang penceramah kontroversi itu.

PETALING JAYA:
Polis menafikan laporan media India yang mengatakan penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik akan diusir hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun berkata polis belum menerima apa-apa maklumat berhubung ekstradisi Naik, yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan berkaitan penggubahan wang dan terorisme.

“Kita tidak dapat maklumat itu, jadi saya nafikan laporan Naik dihantar pulang hari ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Naik berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang notis penghantaran pulang.

“Tak benar. Kami tak terima sebarang notis ekstradisi,” kata Shaharuddin Ali.

Sementara itu, sumber di Kementerian Dalam Negeri menafikan laporan media India dan berkata buat masa ini belum ada kata putus daripada kerajaan berhubung penghantaran pulang penceramah itu.

Media India hari ini melaporkan Naik, yang disiasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan penyebaran ekstremisme, “akan menaiki penerbangan ke India hari ini”, menurut laporan Times Now.

Sementara itu NDTV melaporkan Naik akan dikeluarkan dari Malaysia “malam ini”, memetik seorang pegawai polis anti-pengganas di Bukit Aman, Mohammed Raby Abu Bakar.

Naik dituduh memberikan ucapan provokasi, yang menurut kerajaan Bangladesh menjadi penyebab serangan di Dhaka yang menyaksikan 22 orang maut.

Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga sedang menyiasat NGO yang diasaskan Naik, Yayasan Kajian Islam, berhubung dakwaan pengubahan wang.

Dia diberi status pemastautin tetap di Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Malaysia usir Zakir Naik hari ini?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.