Riza Aziz hadir di SPRM beri keterangan kali ke-2

PUTRAJAYA: Anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz hadir kali ke-2 hari ini untuk disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Riza tiba di ibu pejabat SPRM pada 3.00 petang tadi bersama peguam, K Kumaraendran.

Riza yang muncul pertama kali di khalayak ramai di Malaysia, selepas namanya disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada 2016 berhubung siasatan ke atas 1MDB, disoal selama 9 jam semalam.

Keterangan Riza diambil hampir sebulan selepas ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, disoal SPRM dalam siasatan dakwaan rasuah terhadap syarikat milik kerajaan itu.

Keterangan Riza diambil hampir sebulan selepas ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor, disoal SPRM dalam siasatan dakwaan rasuah terhadap syarikat milik kerajaan itu.

Najib pula disoal SPRM pada 22 Mei lalu dan 24 Mei lalu.

Rosmah dan Najib disoal dalam siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, dan kira-kira RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank Najib.

Pada 20 Julai 2016, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Dokumen DoJ setebal 130 muka surat itu menamakan beberapa individu, termasuk Riza menerusi syarikatnya di AS, Red Granite didakwa menggunakan berjuta dolar daripada 1MDB untuk menerbitkan filem “The Wolf of Wall Street”.

Riza bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan Najib kemudiannya memfailkan saman pada 2015 ke atas Harakah Daily kerana memfitnahnya berhubung isu 1MDB menerusi artikel bertajuk “Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza Aziz”.

Bagaimanapun, Red Granite pada Mac lalu bersetuju membayar AS$60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan AS untuk menyelesaikan dakwaan ia mendapat keuntungan daripada wang diseleweng dari 1MDB.