Tambang Grab mahal: Persatuan pengguna gesa rombak MyCC

Seorang jurucakap Grab berkata, tambang lebih tinggi disebabkan pelaksanaan harga dinamik syarikat itu yang menyaksikan harga berubah-ubah berdasarkan permintaan dan penawaran di kawasan trafik tinggi pada waktu puncak. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Sebuah persatuan pengguna menggesa kerajaan merombak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang didakwa gagal menangani situasi Grab Malaysia hampir memonopoli keseluruhan industri perkongsian kenderaan dan menghentikan kenaikan tambang.

Ini susulan suruhanjaya saingan di negara Asean seperti Singapura dan Vietnam memulakan siasatan ke atas Grab kerana bimbang dengan kenaikan tambang perkhidmatan itu.

Mereka mencadangkan tindakan tegas terhadap syarikat itu susulan laporan kenaikan harga untuk tambang Grab dan mengkaji penguatkuasaan undang-undang persaingan di negara masing-masing. Ini selepas Uber menamatkan operasinya di Asia Tenggara awal tahun ini.

“Isu Grab di Singapura dan (bagaimana ia ditangani berbanding) di Malaysia menunjukkan MyCC sekadar kosmetik. Tidak lebih daripada itu, tetapi hanya pembaziran wang,” kata Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George kepada FMT.

Beliau merujuk gesaan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura minggu lalu untuk menghentikan penggabungan Uber-Grab di negara itu, selepas mendapati tambang Grab meningkat sejurus selepas itu.

Hasil semakan FMT pada awal minggu ini menunjukkan tambang Grab untuk sesetengah perjalanan lebih mahal berbanding jarak sama oleh perkhidmatan perkongsian kenderaan lain.

Ini walaupun bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Grab memberi jaminan pengambilalihan Uber pada awal tahun ini tidak akan menjejaskan tambang serta MyCC memantau syarikat itu beberapa bulan lalu.

George yang merupakan bekas penasihat khas Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun berkata, tiada aduan utama diterima Cassa mengenai kenaikan tambang Grab.

Semalam, seorang jurucakap Grab berkata, tambang lebih tinggi disebabkan pelaksanaan harga dinamik syarikat itu yang menyaksikan harga berubah-ubah berdasarkan permintaan dan penawaran di kawasan trafik tinggi pada waktu puncak.

Katanya, cuaca buruk baru-baru ini dan musim perayaan seperti bulan Ramadan serta Hari Raya, menyaksikan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan itu.

George turut mencadangkan badan seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), MyCC dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) disatukan dan diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Katanya, badan payung itu perlu dipimpin mereka yang mempunyai maklumat dalaman sebenar dan pengetahuan mengenai advokasi pengguna.

“Saya menggesa MyCC dirombak, lebih proaktif dan sedia bertindak balas. Kita perlu mempersoalkan kenapa peruntukan dana awam dan utiliti diberikan untuk membiayai badan-badan seperti itu sedangkan kita sepatutnya membentuk suruhanjaya baru di bawah kementerian,” katanya sambil menambah beliau sedia menyertai kumpulan baru itu.

Sentimen sama disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj yang berkata, MyCC perlu menentukan jika Grab bersalah.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan George untuk menubuhkan sebuah badan payung.

“Kita kini berdepan kesan penggabungan Uber-Grab. Di mana dahulu ada 2 pasukan bersaing, kini tinggal entiti tunggal.

“Jadi, wujud isu manipulasi harga. Hampir memonopoli keseluruhan industri tidak salah, tetapi bukan ketika ia dilakukan untuk mengaut keuntungan berlebihan. MyCC perlu mengkajinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

“Tetapi, saya rasa suruhanjaya perlu melakukan kerja mereka secara berasingan kerana mereka mempunyai fungsi berlainan. Tiada sebab untuk lapisan tambahan. Kita hanya perlu memastikan mereka melakukan apa yang patut mengikut undang-undang.”

Seorang wakil komunikasi korporat MyCC enggan mengulas kenyataan George dan berkata, MyCC masih memantau isu Grab dan dakwaan kenaikan tambang.