Pelajar UEC kuasai bahasa kebangsaan di sekolah, kata persatuan Cina

Dong Zong dan Jia Zong berkata sekolah Cina persendirian juga memainkan peranan mengangkat Bahasa Melayu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dua persatuan pendidikan Cina hari ini menafikan sekolah-sekolah menengah Cina persendirian yang mengguna pakai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mengabaikan penguasaan bahasa kebangsaan.

Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jia Zong) berkata sekolah-sekolah menengah Cina persendirian mempunyai kelab Bahasa Melayu bagi mengalakkan penggunaan dan penguasaan Bahasa Melayu.

“Di samping itu, kami juga bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menganjurkan pertandingan forum pelajar yang khas untuk penyertaan pelajar-pelajar UEC sejak 90-an dengan tujuan memupuk rasa cinta akan Bahasa Melayu.

“Terdapat banyak lagi aktiviti yang dijalankan dengan pelajar UEC dan DBP. Pelajar kami mengambil bahagian dalam pertandingan koir dan penulisan esei yang juga dianjurkan oleh DBP,” kata Dong Zong dan Jia Zong dalam kenyataan hari ini.

Mereka juga menolak dakwaan mengatakan sukatan pelajaran UEC diambil dari Taiwan sebagai “tidak benar”.

“Sukatan pelajaran UEC mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan dan setiap mata pelajaran ditulis mengikut standard kurikulum dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta merujuk kepada standard pendidikan peringkat menengah antarabangsa.

“Mata pelajaran Sejarah bagi pelajar UEC mengandungi 57.36% sejarah Malaysia dan 42.64% sejarah dunia. Separuh isi kandungan pelajaran Sejarah di UEC adalah sejarah Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad akan memenuhi janji mengiktiraf UEC sebagai sijil kemasukan yang sah ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ahli politik veteran Tan Sri Rais Rais Yatim menggesa kerajaan mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja terhadap implikasi pengiktirafan UEC kepada Bahasa Melayu, agama Islam, adat istiadat Melayu, dan konsep Pengisytiharan Malaysia.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid pula menyarankan pengiktirafan UEC mengambil kira 2 syarat am, iaitu “Kepujian” dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan “Lulus” mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lebih penting lagi, kami menerima keputusan kerajaan Pakatan Harapan bahawa pengiktirafan UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA harus dengan syarat wajib memiliki ‘Kepujian’ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.

“Maka, adalah jelas pengiktirafan UEC sememangnya tidak menjejaskan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi,” kata Dong Zong dan Jia Zong.

 

Malaysia bercelaru jika iktiraf UEC, kata Pemuda Umno

Umno saran iktiraf UEC dengan syarat kepujian dalam BM

Kajian holistik sebelum iktiraf UEC, kata Maszlee