Presiden Filipina jumpa Dr Mahathir

Presiden Filipina jumpa Dr Mahathir

Rodrigo Duterte dikatakan membincangkan isu berkaitan pemberontakan dan kumpulan pengganas IS.

Free Malaysia Today
Rodrigo Duterte dalam lawatan peribadi ke Malaysia untuk menyaksikan pertarungan “Fight of the Champions” di Bukit Jalil. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Presiden Filipina Rodrigo Duterte, hari ini mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra.

Ketibaan, Duterte, yang diiringi Setiausaha Luar Filipina, Alan Peter Cayetano dan Duta Besar Filipina di Malaysia, Charles Jose, disambut oleh Dr Mahathir pada jam 3 petang.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan selama sejam.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pertananan, Mohamad Sabu.

Duterte menyampaikan potret perdana menteri kepada Dr Mahathir sebagai memento bagi tanda lawatan tersebut.

Jurucakap presiden, Harry Roque, dilaporkan sebagai berkata ketika Duterte berada di Malaysia, presiden itu akan menemui Dr Mahathir bagi membincangkan isu berkaitan pemberontakan dan kumpulan pengganas IS.

Duterte sedang dalam lawatan peribadi ke Malaysia untuk menyaksikan pertarungan “Fight of the Champions” antara petinju Filipina, Manny Pacquiao dan Lucas Matthysse dari Argentina bagi merebut gelaran welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pertarungan tersebut, Pacquiao, iaitu senator Filipina yang dikenali sebagai “Pac-Man”, mengejutkan juara bertahan itu untuk muncul juara welterweight WBA yang baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.