
“Ya, video itu tidak menunjukkan kami mengeluarkan kad kuasa dan memperkenalkan diri kami kepada mereka di program itu, termasuk Siti Kasim,” kata Siti Nor Jihan Saleh.
Jihan memberi keterangan pada perbicaraan di mana peguam Siti Kasim dituduh menghalang pegawai Jawi ketika mereka menyerbu sebuah program pada 3 April 2016.
Siti dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara tidak lebih 2 tahun, denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jihan disoal peguam Siti, Suzana Norlihan Alias sama ada Jawi mematuhi garis panduan ketika melakukan serbuan itu.
Dia juga berkata Siti tidak menyentuh mana-mana pegawai Jawi yang terlibat.
“Dia tidak menyentuh ketua operasi saya atau mana-mana pegawai lain.
“Individu yang memaksa ketua saya keluar adalah orang lain yang saya percaya dia ialah ‘bouncer’,” katanya.
Awal hari ini, Jihan memberitahu mahkamah dia tidak menyedari Siti menghadiri program itu sebagai peguam untuk penganjur.
Klip video Siti memarahi beberapa pegawai Jawi, menuntut mereka menunjukkan waran tangkap terhadap serbuan di program tertutup itu tersebar di media sosial.
Jihan juga berkata tiada sesiapapun didakwa oleh Jawi setakat ini kerana terlibat dalam program transgender.
“Tidak juga Siti Kasim,” katanya, sebagai tindak balas kepada Suzana mengenai sama ada Siti didakwa di Mahkamah Syariah kerana enggan memberi maklumat peribadi kepada Jawi.
Jihan berkata “bouncer” yang memaksa ketua operasi keluar dari program itu juga tidak didakwa kerana menghalang tugas penjawat awam.
Perbicaraan di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman akan disambung semula pada 27 Julai.
Siti Kasim mohon dibicara selepas didakwa halang pegawai Jawi