Johari Abdul sasar jawatan naib presiden PKR

Johari Abdul sasar jawatan naib presiden PKR

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, keputusan bertanding jawatan itu dibuat selepas mengambil kira keadaaan stabil dalam PKR dan kemenangan besar PH dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Free Malaysia Today
Johari Abdul berkata, walaupun PKR melalui PH berjaya menawan Putrajaya, namun masih ada misi yang perlu diteruskan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden PKR pada pemilihan parti bulan depan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaaan stabil dalam parti dan kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Ya, saya akan bertanding. Pada penggal lalu, saya merupakan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), ketika itu saya hendak pastikan parti berjalan elok.

“Sekarang, pilihan raya umum sudah tamat dan disebabkan itu saya putuskan hendak bertanding bagi menggerakkan agenda reformasi,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Johari berkata, walaupun PKR melalui PH berjaya menawan Putrajaya, namun masih ada misi yang perlu diteruskan.

“Bila sebut reformasi, tidak bermakna selepas tamat pilihan raya kita sudah tidak gerakkan agenda reformasi, parti tertubuh kerana banyak agenda reformasi yang perlu dilakukan.

“Insya Allah kalau saya jadi naib presiden dengan yang lain, agenda reformasi akan diteruskan hingga kita rasa Malaysia sudah ke tahap yang boleh dibanggakan.”

Johari menyokong Anwar bertanding jawatan presiden PKR, tetapi enggan menamakan individu sesuai untuk jawatan timbalan presiden.

“Mungkin ada 2 atau 3 orang yang akan bertanding jawatan tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.