
Zahid dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan takziah atas kematian Adun Balakong itu, yang meninggal dunia selepas terbabit dalam satu kemalangan di lebuhraya Cheras-Kajang awal pagi hari ini.
“Dalam isu kematian biarpun berbeza agama, apatah lagi berbeza politik, tidak seharusnya terdapat rasa kebencian yang disimbahkan.
“Umno tidak boleh menerima sesiapa sahaja dalam kalangan ahlinya yang mengeluarkan kenyataan yang berupa seranah, biarpun semasa hayatnya mendiang mungkin pernah melakukan kesilapan dengan menghamburkan kata-kata kesat yang berupa cacian.”
Kenyataan Zahid ini menyusuli kecaman orang ramai terhadap bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii.
Razlan mengejutkan warga Twitter apabila berkata seorang “kaki fitnah” sudah meninggal dunia dan kurang lagi orang seperti itu di Malaysia.
Razlan memberitahu FMT dia tidak berniat untuk menghina kematian wakil rakyat DAP itu dan memadamkan catatan tersebut.
Dia memohon maaf kepada keluarga selepas dinasihat Ketua Pemuda, Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu, Zahid berkata Barisan Nasional akan menentukan calon gabungan itu untuk pilihan raya kecil DUN Balakong dalam mesyuarat bersama MCA dan MIC.
“Calon yang bertanding akan dipilih daripada nama-nama yang akan dikemukakan oleh parti komponen yang meletakkan calonnya pada PRU ke-14 lalu,” katanya.
Pada PRU lalu, kerusi DUN Balakong ditandingi calon MCA, Lim Chin Wah. DAP mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 35,538 undi.