MOF akan beri taklimat SST kepada Ahli Parlimen, kata Wong Chen

MOF akan beri taklimat SST kepada Ahli Parlimen, kata Wong Chen

Kerajaan akan perkenal semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September depan walaupun hasil cukai berkurang.

Free Malaysia Today
Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata mereka mahu memahami SST dengan lebih baik.
SUBANG JAYA:
Ahli Parlimen Subang mewakili PKR, Wong Chen berkata, Kementerian Kewangan (MOF) dijangka memberi taklimat mengenai pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada Ahli Parlimen minggu depan.

“Kita mahu memahami isu berkaitan SST dengan lebih baik sebelum rang undang-undang itu dibentangkan,” katanya yang ditemui selepas menghadiri acara berbasikal kutipan derma Tabung Harapan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan dijangka membentangkan rang undang-undang tersebut pada hari-hari terakhir sidang Parlimen kali ini.

Sidang pertama Parlimen selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas dijadualkan berlangsung dari 16 Julai hingga 16 Ogos ini.

Minggu lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar SST baru ditetapkan pada angka 10% bagi cukai jualan dan 6% cukai perkhidmatan.

SST akan berkuatkuasa bermula 1 September depan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertekad mahu memperkenalkan semula SST walaupun hasil cukai kerajaan dijangka menurun berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang ditetapkan pada kadar sifar sejak PH mengambil alih Putrajaya.

Wong juga berkata, kerajaan akan menemui kumpulan akauntan berhubung kebimbangan mereka mengenai SST.

“Mereka maklumkan kebimbangan terhadap sistem cukai itu dan kami berharap untuk bertemu dan mendengar pandangan mereka,” katanya.

Dilaporkan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) berkata mereka bimbang kadar 10% SST akan membebankan pengguna apabila pengeluar meningkatkan harga bahan mentah yang dijual ke kilang.

Presiden persatuan, Abd Aziz Abu Bakar, akibatnya kilang akan meningkatkan harga kepada penjual dan penjual pula memindahkan kos itu kepada pengguna.

Dalam pada itu Wong berkata, Ahli Parlimen penyokong kerajaan menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa tetap Parlimen secepat mungkin.

“Mereka mesti menunjukkan isyarat bila mereka mahu jawatankuasa itu mula bekerja.

“Ia mesti dibuat sebelum pembentangan belanjawan (pada November) kerana sejumlah dana perlu diperuntukkan kepada kakitangan jawatankuasa berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.