
Katanya, jawatan ketua umum PKR yang disandang Anwar ketika ini akan dikosongkan, selepas suaminya memenangi jawatan presiden kerana ia tidak wujud dalam struktur parti itu.
“Kita belum ada lagi perbincangan (sama ada jawatan ketua umum akan dipertandingkan).
“Selalunya tak ada jawatan ketua umum dalam struktur parti…Dalam PH, jawatan saya tetap akan diteruskan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Pada 22 Julai lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Wan Azizah kekal sebagai timbalan perdana menteri jika Anwar memenangi jawatan presiden dalam pemilihan parti bulan depan.
Katanya, ketika ini, Anwar tiada locus standi untuk memegang jawatan dalam kerajaan, manakala PH bersetuju membenarkan Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Pandan menjadi timbalan perdana menteri.
Pada 19 Julai lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, PKR akan membincangkan keperluan mengekalkan jawatan ketua umum yang diwujudkan 11 tahun lalu untuk Anwar kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia melarang beliau menyertai pemilihan parti selepas dibebaskan dari penjara.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata, Wan Azizah akan tetap memainkan peranan dalam PKR walaupun tidak menjadi presiden parti itu.
Katanya, perbincangan akan diadakan bagi memastikan Wan Azizah kekal aktif dalam PKR.
“Kita akan bincang peranan Wan Azizah dalam parti.”