
Beliau berkata langkah itu juga antara lain bagi mendapatkan pandangan dan mengadakan perbincangan berhubung wujudnya ketidak puasan hati di semua peringkat dan bahagian.
“Setakat ini saya belum mula berjumpa (dengan pemimpin utama Perlis) kerana sekarang sedang ada pilihan raya kecil di sini tapi saya sudah mengatur pertemuan tersebut.
“Apabila saya sudah mendapat input (mengenai pandangan tentang pelantikan), baru saya akan buat sebarang keputusan mengenainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ceramah penerangan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai protes oleh Umno Perlis terhadap pelantikannya ke jawatan tersebut, Khaled yang juga naib presiden parti berkata ia adalah perkara biasa dan bantahan juga berbeza mengikut peringkat dan bahagian.
“Saya tak tahu berapa ramai yang terima dan berapa ramai yang tak terima (pelantikannya) tapi ia tak beri masalah kepada saya,” katanya ringkas.
Ketika ditanya mengenai respon presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai protes tersebut, beliau berkata pihaknya belum mengadakan sebarang pertemuan dengan pemimpin utama parti itu untuk mengemukakan isu berkenaan.
Baru-baru ini, media melaporkan Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mendakwa tindakan melantik Khaled sebagai pengerusi perhubungan Umno Perlis dilihat sebagai satu hukuman kepada kepemimpinan negeri yang tidak memberi sokongan penuh kepada Zahid.
Ismail Kassim berkata, tindakan mengetepikan 3 ketua bahagian di Perlis daripada memimpin Umno negeri seolah-olah tidak mengiktirafkan keupayaan pemimpin sedia ada.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan meletakkan 3 naib presiden Umno sebagai pengerusi badan perhubungan Umno negeri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Selangor, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Terengganu) dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Perlis) adalah bersifat sementara.
Keputusan itu dicapai bagi membolehkan parti terus menyusun struktur pentadbiran parti di 3 negeri iaitu Perlis, Selangor dan Terengganu.
Katanya, ketiga-tiga negeri itu gagal mencari penyelesaian berhubung isu kepemimpinan di peringkat negeri masing-masing.
Dari Johor ke Perlis, Khaled sedar pelantikannya akan dipersoalkan