Sosma selamatkan nyawa dan harta, kata Najib

Najib Razak melawat penduduk di Sungai Kandis ketika berkempen untuk BN menjelang hari mengundi pada 4 Ogos ini.

KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu dikekalkan untuk mengelakkan keganasan serta menyelamatkan nyawa dan harta, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri berkata, masyarakat dunia akan hilang keyakinan terhadap Malaysia jika berlaku keganasan selepas pemansuhan Sosma.

Katanya, dengan adanya Sosma, pihak berkuasa boleh melakukan pencegahan awal dan penahanan individu dilakukan melalui mahkamah, bukannya atas budi bicara menteri serta ketua polis negara.

“Kalau kita hendak memusnahkan apa juga akta berkaitan keselamatan, kita mesti tanya mereka yang menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.

“Seperti angkatan tentera, polis dan pihak berkuasa lain, sama ada pemansuhan Sosma akan membantutkan usaha mencegah keganasan dalam negara,” katanya selepas mengadakan lawatan sempena kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, hari ini.

Pada 22 Julai lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Sosma, undang-undang kontroversi yang diluluskan pada 2012 dan dilihat sebagai pengganti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perdana menteri berkata, rakyat perlu dilindungi undang-undang adil, tetapi bukannya Sosma yang membolehkan pihak berkuasa menangkap sesiapa sahaja tanpa prosiding mahkamah.

Sosma yang diluluskan Dewan Rakyat pada 4 April 2017, bertujuan membendung aktiviti yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Sosma memberi kuasa kepada anggota keselamatan menangkap seseorang tanpa waran, menahannya selama 24 jam bagi tujuan siasatan dan melanjutkan tempoh tahanan tidak melebihi 28 hari. Jaminan tidak boleh diberikan dan mereka ditahan sehingga semua rayuan di mahkamah selesai.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah pernah ditahan di bawah Sosma selama 11 hari atas peranannya dalam Perhimpunan Bersih 5 pada November 2016.