PKR Sepang dakwa ada nepotisme, kronisme di Selangor

PETALING JAYA: Dua pemimpin PKR Sepang menuduh setiausaha politik kepada menteri besar Selangor mengamalkan kronisme dan nepotisme, tidak lama selepas seorang pemimpin Pemuda meletakkan jawatan hari ini.

Timbalan Ketua Suziana Musa dan Ketua Wanita Nermala Dewi Muthusamy berkata setiausaha politik itu, yang juga ketua PKR Sepang, menyisihkan ahli jawatankuasa cawangan dalam pencalonan ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan memilih orang-orang yang bukan daripada kalangan mereka.

“Walaupun ada dalam kalangan calon-calon tersebut pernah ditangkap polis atas kesalahan jenayah dan juga menipu tahap kelulusan pendidikan,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ketua cawangan Sepang merangkap setiausaha politik menteri besar Selangor yang jelas mengamalkan kronisme dan nepotisme.”

Awal hari ini, Setiausaha Pemuda PKR Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman meletakkan jawatan, mendakwa segelintir pemimpin PKR negeri mengamalkan budaya kronisme dan nepotisme dengan menggunakan pelantikan politik sebagai habuan untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.

“Jelas bahawa pelantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan kesetiaan kepada kabilah tertentu, bukan berdasarkan merit,” katanya.

Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar menepis dakwaan tersebut, mengatakan dakwaan seperti itu boleh dijangkakan daripada kumpulan-kumpulan yang bersaing semasa pemilihan parti, yang akan diadakan Ogos ini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/27/setiausaha-amk-pkr-selangor-letak-jawatan-dakwa-kronisme-nepotisme/